Kajian Trend - Satu pendekatan ke arah kemajuan pendidikan

Analisa Aliran “Trend Analysis” adalah salah satu bentuk kajian yang boleh digunakan untuk membuat kajian aliran pencapaian akademik pelajar secara berterusan. Kajian ini perlu dilakukan dalam dua peringkat, iaitu Fasa Satu bagi tahun pengajian dari Tahun 1 hingga Tahun 3 dan Fasa Dua bagi tahun pengajian dari Tahun 4 hingga Tahun 5. Melalui kajian ini kita akan dapat melihat aliran perkembangan pencapaian akademik setiap individu mahupun setiap kelas atau setiap sekolah. Untuk menjalankan kajian ini kita perlu mempunyai maklumat terperinci mengenai pencapaian setiap ujian/penilaian yang diduduki oleh pelajar-pelajar berkenaan. Mengapakah perlunya Analisa Aliran dilakukan di sekolah-sekolah? Apakah faedah yang akan diperoleh para guru dan pentadbir sekolah?

Mengapa perlunya Analisa Aliran?

Melalui analisa ini kita dapat melihat sama ada pelajar itu menunjukkan peningkatan di dalam pembelajarannya atau sebaliknya. Jika diamati secara terperinci keputusan ujian-ujian pelajar tersebut kita akan dapat melihat satu bentuk aliran dalam pencapaian secara keseluruhan. Aliran ini akan membawa maksud sama ada guru yang mengajar mata pelajaran tersebut telah gagal untuk mencapai matlamat pengajarannya bagi pelajar berkenaan ataupun tahap penguasaan pelajar tersebut hanyalah pada tahap berkenaan. Dapatan ini akan dapat membantu pihak pentadbir untuk mengadakan perbincangan dengan guru yang bertanggungjawab untuk mengenal pasti kelemahan yang ada dalam pengajaran guru tersebut ataupun kelemahan yang ada pada pelajar berkenaan. Langkah-langkah bagi memulihkan kelemahan yang telah dikenal pasti akan dapat disediakan dan dilaksanakan secara terkawal.

Langkah-langkah pelaksanaan

Beberapa perkara asas perlu dipatuhi sebelum kajian atau analisis trend dapat dilaksanakan dengan jayanya.

• Semua ujian yang dilaksanakan bagi setiap aliran perlu diselaraskan jika kajian untuk sesuatu aliran ingin dilakukan.
• Semua markah bagi setiap ujian yang dijalankan dalam satu tahun perlu diambil kira dalam membuat kajian ini.
• Murid yang markah ujiannya tidak lengkap hendaklah dikeluarkan dari senarai kajian.
• Jangkamasa kajian hendaklah diambil kira mengikut Tahap ( Tahap 1 – Tahun 1 hingga Tahun 3, Tahap 2 – Tahun 4 dan 5 ).

Setelah semua perkara asas di atas telah disempurnakan, langkah-langkah pelaksanaan berikut boleh dilaksanakan.



1) Kajian Trend Individu.

a) Semua markah ujian direkodkan ke dalam borang khas [ Borang PK(I) ].
b) Bilangan Gred yang didapati direkodkan di dalam Borang Indeks Nilai Tambah ( Borang INT ) untuk mengesan status pencapaian murid dalam sesuatu mata pelajaran.
c) Analisis dari Borang PK(I) digunakan untuk membuat keputusan ramalan. Kenal pasti kedudukan pelajar dengan membandingkan markah yang diperolehi dengan Markah Media kelas pelajaran tersebut.
d) Sediakan Graf Kemajuan yang mempunyai Garis Trend dan juga garis Markah Median untuk melihat perkembangan pencapaian akademik setiap mata pelajaran..


2) Kajian Trend Kelas

a) Semua markah ujian direkodkan di dalam borang khas ( Borang PK ) bagi setiap mata pelajaran.
b) Bilangan Gred yang didapati oleh setiap murid direkodkan di dalam Borang Indeks Nilai Tambah ( Borang INT ) untuk mengesan status pencapaian kelas dalam sesuatu mata pelajaran.
c) Taraf TOV ( Take-Off Value ) setiap murid boleh didapati daripada Borang TOV yang disediakan. Taraf TOV murid akan membantu guru untuk mengenal pasti murid-murid yang Cemerlang dan Lemah.
d) Sediakan Graf Kemajuan yang mempunyai Garis Trend dan juga garis Markah Median untuk melihat perkembangan pencapaian akademik setiap mata pelajaran.
e) Sediakan Analisis Keputusan Keseluruhan bagi setiap kelas yang mengandungi :
i) pencapaian setiap mata pelajaran - bilangan murid yang mendapat “A, B, C, D & E “ , Bilangan murid Menguasai dan Tak Menguasai, Peratus Menguasai dan Tak Menguasai dan Gred Purata Keseluruhan (GPK).
ii) pencapaian keseluruhan – bilangan dan peratus murid yang mendapat 5 A, bilangan dan peratus murid yang MENGUASAI semua mata pelajaran, bilangan dan peratus murid yang TAK MENGUASAI, bilangan dan peratus murid yang TAK MENGUASAI SEMUA MATA PELAJARAN dan Gred Purata Kelas.

3) Kajian Trend Satu Aliran

a) Keputusan Keseluruhan setiap kelas direkodkan ke dalam Borang GPMP.
b) Sediakan Graf Kemajuan yang mempunyai Garis Trend untuk melihat perkembangan pencapaian akademik setiap mata pelajaran.
c) Sediakan Analisis Keputusan Keseluruhan yang mengandungi :
i) pencapaian setiap mata pelajaran - bilangan murid yang mendapat “A, B, C, D & E “ , Bilangan murid Menguasai dan Tak Menguasai, Peratus Menguasai dan Tak Menguasai dan Gred Purata Keseluruhan (GPK).
ii) pencapaian keseluruhan – bilangan dan peratus murid yang mendapat 5 A, bilangan dan peratus murid yang menguasai semua mata pelajaran, bilangan dan peratus murid yang tak menguasai, bilangan dan peratus murid yang tak menguasai semua mata pelajaran dan Gred Purata Aliran.

4) Kajian Trend Sekolah

a) Rekodkan keputusan setiap mata pelajaran bagi tahun yang lalu ke dalam Borang GPMP Sekolah.
b) Sediakan Analisis Keputusan Keseluruhan yang mengandungi :
i) pencapaian setiap mata pelajaran - bilangan murid yang mendapat “A, B, C, D & E “ , Bilangan murid Menguasai dan Tak Menguasai, Peratus Menguasai dan Tak Menguasai dan Gred Purata Keseluruhan (GPK).
ii) pencapaian keseluruhan – bilangan dan peratus murid yang mendapat 5 A, bilangan dan peratus murid yang menguasai semua mata pelajaran, bilangan dan peratus murid yang tak menguasai, bilangan dan peratus murid yang tak menguasai semua mata pelajaran dan Gred Purata Sekolah.
c) Sediakan Graf Kemajuan yang mempunyai Garis Trend untuk melihat perkembangan pencapaian akademik setiap mata pelajaran.

Melalui kajian ini dan dengan melihat graf kemajuan yang mempunyai garis trend, kita dapat membuat anggaran pencapaian yang agak tepat yang akan dicapai pada tahun berikutnya. Malah kita boleh juga membuat anggaran pencapaian yang agak tepat bagi 2 tahun ke hadapan jika kita melihat trend pencapaian murid Tahun 5 (2007) untuk pencapaian UPSR Tahun 2008 dan trend pencapaian murid Tahun 4 (2007) untuk pencapaian UPSR Tahun 2009.

Trend pencapaian murid Tahun 5 (2007) hendaklah diambil kira dari semasa murid-murid ini berada di dalam Tahun 4 (2006). Trend pencapaian murid-murid ini semasa berada di dalam Tahap 1 juga perlu dikaji bagi melihat kesinambungan pencapaian yang dikuasai.

Setelah segala kelemahan telah dapat dikesan puncanya, maka perlulah langkah-langkah penambahbaikan dirancang dan dilaksanakan dengan mengadakan penyeliaan serta pemantauan berkala secara berkesan. Kejayaan Kajian ini memerlukan kerja yang berterusan untuk mengesan kelemahan murid bermula dari Tahun 1 hingga ke Tahun 6. Mengesan kelemahan pelajar semasa berada di dalam tahun peperiksaan tidak akan memberi sebarang manfaat dan faedah kepada kejayaan dan pencapaian yang memberangsangkan di kalangan pelajar.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru

Mengapa Pengajaran & Pembelajaran Tidak Berkesan?