Teknik Pengurusan Kelas - 10 Contoh

Terdapat beberapa contoh langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengawal kelas secara berkesan. Perkara yang paling dibenci oleh pelajar adalah guru berleter. Kadangkala leteran tu berpanjangan hingga banyak masa untuk mengajar dibuang begitu sahaja. Puncanya bukan lah besar, cuma mungkin kenakalan atau kedegilan para pelajar yang sudah sememangnya demikian.
  1. Mengguna Jam Randik :- Setiap kali pelajar bising dan belum bersedia untuk belajar guru akan memberitahu kelasnya "Masa berjalan" dan jam randik dimulakan. Apabila pelajarnya telah senyap dan bersedia jam dihentikan dan masa yang telah terbuang dicatat pada Jadual Masa Terbuang yang telah disediakan di papan kenyataan kelas. Di akhir setiap bulan masa yang terbuang itu perlu digantikan dengan aktiviti tambahan seperti kelas ulangkaji, kerja kumpulan, menjawab kertas kerja tambahan dan banyak lagi mengikut kreativiti guru. Tujuan: Mengajar pelajar menghargai masa.
  2. Tabung Mata Ganjaran:- setiap pelajar akan diberi sebanyak 100 markah ganjaran setiap Penggal Persekolahan. Setiap kali seorang pelajar melakukan kesalahan atau melanggar peraturan kelas sebagaimana yang telah dipersetujui pada awal tahun sejumlah mata ganjaran akan ditolak dari tabungnya. Mata Ganjaran adalah perlu untuk mendapat beberapa kemudahan yang telah ditetapkan seperti mengguna komputer di makmal komputer, meminjam lebih banyak buku dari perpustakaan kelas dan sebagainya. Kekurangan mata ganjaran akan mengakibatkan kehilangan kemudahan-kemudahan tersebut. Tujuan: Mengajar pelajar menghargai harta yang ada.
  3. Pita Rakaman :- Bawa alat perakan suara ke kelas. Rakam aktiviti kelas apabila perlu. Melalui rakaman ini kita dapat membuat analisis mengenai situasi yang berlaku di dalam kelas untuk mengenalpasti siapakah yang menjadi punca kepada situasi berkenaan. Gunakan rakaman tersebut sebagai bahan bukti untuk berbincang dengan pelajar yang bermasalah bersama ibu bapa mereka. Tujuan: Mengajar pelajar untuk bertanggungjawab terhadap setiap tindakan yang diambil.
  4. Mata Merit dan Demerit :- Setiap perilaku positif atau negatif yang dilakukan oleh pelajar akan diberi mata Merit atau Demerit. Pada penghujung setiap bulan tampalkan warna dilajur bulan bagi setiap pelajar. Warna yang digunakan adalah Biru, Hijau, Kuning dan Merah. Hukuman akan dikenakan mengikut tahap warna yang diperolehi. Hukuman adalah berbentuk pendidikan bukan berbentuk negatif. Tujuan : Mengajar pelajar memahami kaitan diantara tindakan dan akibat.
  5. Kod warna :- Pelajar diagihkan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan akan diberi kod warna. Bagi setiap aktiviti yang baik dan berkualiti yang dilakukan warna kumpulan tersebut akan di tampal pada jadual. Jadual ditampal di papan kenyatan supaya setiap kumpulan dapat melihat serta mengikuti perkembangan dan kemajuan kumpulan mereka dari bulan ke bulan. Pada akhir tahun persekolahan, kumpulan yang memperolehi kod warna yang paling banyak akan diberi ganjaran. Ganjaran adalah berbentuk hadiah seperti buku cerita, jamuan makan di sebuah restoran atau apa sahaja yang difikirkan sesuai. Tujuan : Mengajar pelajar sikap kerjasama dan koperasi di dalam kumpulan.
  6. Permainan atau Kuiz :- Setiap bulan aktiviti kuiz atau permainan berbentuk pendidikan akan dijalankan di dalam kelas. Aktiviti ini hanya akan dijalankan jika sekiranya semua pelajar di dalam kelas berkenaan berkelakuan baik dan mematuhi segala peraturan sepanjang bulan tersebut. Sediakan hadiah-hadiah yang berpatutan. Jika terdapat berlakunya tindakan menyalahi peraturan ataupun kelakuan buruk oleh mana-mana pelajar di dalam kelas berkenaan, maka tiada aktiviti kuiz atau permainan akan diadakan. Tujuan : Mengajar pelajar bahawa setiap tindakan yang baik akan ada ganjarannya.
  7. Kad Ganjaran : Setiap pelajar akan dibekalkan dengan sekeping kad. Setiap kali pelajar berkelakuan sopan, melaksanakan kerja dengan cemerlang, memberi pandangan yang bernas atau membantu rakan sedarjah yang bermasalah, pelajar akan diberi satu bintang. Bintang ini akan dilekatkan pada Kad Ganjaran pelajar berkenaan. Sebaliknya jika pelajar melakukan kesalahan atau melanggar peraturan satu tanda "X" akan dicatat di atas Kad Ganjarannya. Setiap 5 bintang dikumpul akan diberi ganjaran. Bentuk ganjaran hendaklah dipersetujui oleh guru, pelajar dan ibu bapa pada awal tahun persekolahan. Pelajar juga boleh menghapuskan satu "X" dengan 3 bintang. Tujuan: Mengajar pelajar tentang ganjaran dan tanggungan, di mana setiap usaha yang baik ada ganjaran dan setiap yang tidak ada tanggungan.
  8. Kupon Khas :- Pelajar yang menyiapkan semua kerja rumah mengikut masa yang telah ditetapkan akan diberi sekeping Kupon Khas. Setiap pelajar yang telah berjaya mengumpul sebanyak 10 kupon akan diberi peluang untuk mendapat khidmat tambahan daripada gurunya dalam mempertingkatkan prestasi pelajarannya. Khidmat tambahan ini mungkin merupakan bimbingan khas di rumah pelajar oleh guru bagi satu jangka masa yang telah ditetapkan, ataupun lawatan ke tempat-tempat yang menarik bersama guru. Tujuan : Mengajar pelajar bahawa setiap usaha dan titik peluh yang dikeluarkan untuk kejayaan ada ganjaran tambahan.
  9. Jalur Pengukur :- Sediakan sebuah kad bagi setiap pelajar yang mengandungi nama pelajar berkenaan. Pada kad tersebut dilukiskan atau diwarnakan Jalur Pengukur yang mempunyai warna yang berlainan terbahagi sepanjang Jalur tersebut. Sediakan 2 Jalur Pengukur, satu untuk Kerja/Tugasan dan satu untuk Kelakuan. Warna Hijau = Cemerlang, Kuning = Baik, Biru = Memuaskan, Merah = Lemah dan Hitam = Sangat Lemah. Sebuah penyepit baju akan diklipkan pada Jalur Pengukur untuk menunjukkkan kedudukan tingkah laku dan hasil kerja pelajar setiap minggu. Penyepit akan digerakkan sepanjang jalur berkenaan mengikut prestasi kelakuan dan kerja pelajar. Jika penyepit berada pada ruang warna merah tindakan akan diambil terhadap pelajar itu. Tindakan hendaklah berbentuk berpendidikan. Ibu bapa akan dipanggil ke sekolah untuk berbincang jika pin berada pada ruang warna hitam. Setiap tindakan positif akan ditampal sebuah bintang pada Kad pelajar berkenaan. Bentuk ganjaran atau hadiah akan diberi mengikut jumlah bintang yang dikumpul. Tujuan : Mengajar pelajar erti mengawal diri dan bersikap positif.
  10. Program Pelajar Bertanggungjawab :- Melalui program ini pelajar akan menerima Titik Hitam jika tidak melaksanakan senarai tanggungjawab yang telah ditetapkan pada awal tahun persekolahan. Tanggungawab yang telah ditetapkan adalah :-* Bersedia setiap masa, * Menghormati orang lain dan *Menepati masa. Pelajar dikelompokkan ke dalam beberapa kumpulan. Pelajar akan menentukan jumlah Titik Hitam yang maksimum yang dibenarkan diperolehi oleh setiap kumpulan. Kumpulan yang menerima jumlah Titik Hitam yang maksimun akan kehilangan ganjaran yang diperuntukan kepada mereka. Ganjaran yang diberikan oleh guru adalah mengikut kesesuaian masing-masing. Ia boleh berbentuk lawatan, jamuan, menonton filem di pawagam atau apa sahaja yang memberi faedah dan menyeronokkan kepada pelajar. Tujuan : Pelajar mempelajari bahawa tanggungjawab dan sikap hormat menghormati mendatangkan ganjaran yang menyeronokkan.
Selamat mencuba. Andaikata ianya berhasil hebahkanlah kepada rakan-rakan guru serta kenalan anda semoga sekolah merupakan tempat yang paling menyeronokan kepada pelajar kita. Pelajar yang gembira bakal menjadi pelajar cemerlang.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru

Mengapa Pengajaran & Pembelajaran Tidak Berkesan?