Beban Tugas Guru

Isu Beban Tugas Guru kerap disebut dan dipaparkan di dalam akhbar-akhbar tempatan. Malah kebanyakan rintihan yang disampaikan adalah beban tugas-tugas pentadbiran sehinggakan tugas hakiki iaitu mengajar tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan. Di sini ingin saya utarakan beberapa pandangan dan syor yang saya rasa boleh dimunafaatkan bersama oleh guru-guru dan pihak pentadbiran sekolah.

Perkara yang pertama yang perlu difahami adalah waktu bertugas seorang guru adalah selama 6 jam sehari iaitu selama 30 jam seminggu. Ini jika dibandingkan dengan waktu bertugas seorang guru di United Kingdom dan Wales adalah jauh berbeza. Di sana seorang guru bertugas selama 50 hingga 52 jam seminggu. Yang penting sekarang ialah bagaimana kita nak lakukan semua tugas hakiki dengan sehabis baik di mana pada masa yang sama kita juga perlu melaksanakan lain-lain tugas pentadbiran dengan sempurna. Secara purata seorang guru sekolah rendah akan diberi sebanyak 840 minit hingga 900 minit seminggu untuk mengajar dan seorang guru sekolah menengah sebanyak 800 minit hingga 1120 minit seminggu. Jika diteliti dengan halus, waktu Pengajaran dan Pembelajaran berikut tidak dapat dijalankan atas sebab-sebab gangguan-gangguan di luar kawalan dan dalam kawalan guru. Gangguan di luar kawalan adalah seperti mesyuarat tergempar, ibu bapa yang datang untuk berjumpa, karenah pelajar di dalam kelas dan berbagai lagi. Sedangkan gangguan di dalam kawalan guru adalah seperti, lambat masuk kelas, mengambil atau menyedia Bahan Bantu Mengajar secara terdesak dan sebagainya. Jumlah masa yang terbuang berpunca dari gangguan-gangguan ini adalah agak banyak. Kajian yang saya buat di sekolah saya semasa saya masih bertugas menunjukkan bahawa masa yang terbuang itu mencapai sehingga 30 minit sehari. Ini bermakna secara purata jumlah masa P&P yang terbuang seminggu adalah sebanyak 150 minit hingga 200 minit.

Bagaimanakah dapat kita bekerja secara berkesan dalam lingkungan masa yang terhad itu. Di sini ilmu pengurusan masa adalah amat penting sekali. Sebagai seorang guru kita semestinya mempunyai kemahiran untuk mengurus masa secara optimum dan berkesan. Kebanyakan guru amat lemah dalam pengurusan masa. Akibat daripada kelemahan ini banyak kerja yang tertangguh dan disiapkan secara ala kadar sahaja. Kerja-kerja seperti menanda buku dan kertas kerja pelajar merupakan salah satu kerja yang biasanya tertangguh ataupun dilakukan secara mudah. Sedangkan penandaan sepatutnya dilakukan secepat mungkin dan secara teliti agar segala kelemahan pelajar dapat dikenalpasti supaya kerja-kerja pemulihan dapat dilakukan. Kerja-kerja pentadbiran seperti menulis resit kutipan yuran, mengisi maklumat pelajar ke dalam buku Daftar Kehadiran, Borang-borang bantuan seperti KWAPM adalah kerja-kerja yang boleh dilakukan di luar waktu mengajar. Lagi pun kerja-kerja berkenaan bukan lah kerja harian malah bermusim.

Insya Allah akan saya sambung perbincangan ini di dalam posting yang akan datang.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru

Mengapa Pengajaran & Pembelajaran Tidak Berkesan?