SKPM - Bahagian 8

Dimensi 3 – Pengurusan Program Pendidikan
Elemen 9 – Pengajaran dan Pembelajaran
.

Rancangan Pelajaran Tahunan dan Rancangan Pelajaran Harian.
Rancangan Pelajaran Tahunan hendaklah disediakan oleh guru berdasarkan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran yang terkini. Rancangan Pelajaran ini hendaklah merangkumi sepanjang sesi persekolahan bagi satu tahun. Penyediaan Rancangan Pelajaran Harian pula perlu mengambil kira beberapa aspek tertentu.
Tahap kebolehan dan keupayaan murid perlu diambil kira semasa membina Rancangan Pelajaran Harian.
• Objektif dan hasil pembelajaran hendaklah dinyatakan dalam bentuk perlakuan, boleh diukur dan merangkumi pengetahuan serta kemahiran yang hendak diajar.
• Aktiviti bagi mencapai objektif pembelajaran mestilah bersesuaian dengan keupayaan murid dan peruntukan masa.
• Penilaian kendiri hendaklah dijalankan selepas setiap pengajaran dan pembelajaran untuk mengenal pasti kelemahan dan kekuatan murid supaya langkah-langkah pengukuhan, pemulihan dan pengayaan dapat dijalankan.
• Set Induksi yang hendak digunakan perlu mampu menarik perhatian dan minat murid. Ia perlu menjurus ke arah kesediaan murid menghadapi pembelajaran.

Penyampaian dan Perkembangan Pelajaran
Guru hendaklah menyampai pengajaran mereka dengan mengambil kira beberapa langkah tertentu sebagaimana berikut:-
Mengamalkan prinsip asas pengajaran iaitu dari mudah kepada sukar dan konkrit kepada abstrak.
Menghubungkaitkan pengajaran dengan kehidupan harian.
Mengguna bahasa yang tepat dan mudah difahami.
Menjalankan aktiviti yang menunjukkan peningkatan dalam pengajaran.
Menggunakan masa secara optimum dan berkesan.
Menggunakan bahan pengajaran yang sesuai dan relevan.
Mengguna kaedah dan pendekatan berpusatkan murid.
Mengadakan aktiviti yang mengambil kira pelbagai kecerdasan, mengikut tahap kebolehan murid dan yang melibatkan pelbagai deria.
Menerapkan kemahiran berfikir, melaksanakan pendekatan merentasi kurikulum dan fleksibel mengikut keperluan dan situasi.
• Menjalankan penilaian secara berterusan dengan menggunakan pelbagai kaedah penilaian.
• Menyediakan soalan-soalan mengikut pelbagai aras kognitif.
• Menyusun soalan-soalan mengikut aras mudah ke sukar. Soalan hendaklah jelas dan mudah difahami. Murid-murid perlu diberi peluang untuk berfikir.
• Memberi pujian dan mengguna ungkapan yang sesuai untuk setiap kejayaan atau sikap positif yang ditunjuk oleh murid.
• Memberi teguran yang bersesuaian terhadap perlakuan negetif.
• Memeriksa latihan dan tugasan dengan menunjukkan kesilapan yang telah dilakukan oleh murid. Ulasan yang membina diberi serta penghargaan dicatat bagi hasil kerja yang baik. Murid-murid juga dikehendaki membuat pembetulan.

Penglibatan Murid
Penglibatan murid dalam pembelajaran amat penting sekali. Murid-murid perlu melibatkan diri dalam pembelajaran secara aktif. Murid-murid perlu mampu mengemukakan soalan dan pendapat secara spontan kepada guru. Mereka juga sepatutnya mampu berinteraksi secara aktif dengan guru dan rakan sedarjah. Membuat rujukan, apabila perlu merupakan satu kemahiran yang perlu diajar kepada semua murid. Murid-murid mampu melaksanakan kerja kumpulan apabila diperlukan. Murid-murid melaksanakan latihan dan tugas dengan kemas dan bersih, lengkap, menepati masa, membuat latihan dengan betul dan membuat pembetulan.


Pengurusan Kelas
Pengurusan kelas merupakan satu lagi aspek yang penting bagi kejayaan dalam pengajaran dan pembelajaran. Bilik darjah perlu selamat, bersih, ceria, kemas dengan susunan perabot yang sesuai. Mewujudkan sudut-sudut mata pelajaran yang dimanfaatkan. Guru juga perlu memastikan murid-muridnya hadir ke sekolah untuk belajar. Guru juga perlu memastikan murid-muridnya mematuhi peraturan dan sentiasa bersedia untuk belajar.

Perwatakan Guru
Guru perlu mempunyai penampilan diri tertentu bagi mewujudkan suasana yang sesuai dan kondusif untuk pembelajaran. Guru perlu berpakaian sesuai, kemas dan bersih serta mematuhi arahan dan pekeliling. Guru juga perlu mempunyai sifat mesra dan mudah didekati oleh murid-muridnya. Guru juga perlu mengenali semua muridnya dan prihatin tentang keperluan setiap individu. Menggunakan nada suara yang sesuai serta berjaya mewujudkan suasana riang dan memberangsangkan untuk pembelajaran juga merupakan satu aspek penting.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru

Mengapa Pengajaran & Pembelajaran Tidak Berkesan?