SKPM Bahagian 6

Dimensi 3 – Pengurusan Program Pendidikan

Elemen 8 – Pengurusan Program Kurikulum, Kokurikulum dan Hal Ehwal Murid.

Program Pengurusan Hal Ehwal Murid

Jawatankuasa Hal Ehwal Murid

Jawatankuasa ini dianggotai oleh Guru Besar, semua Penolong Kanan, Penyelia Petang dan semua guru yang terlibat dengan pengurusan HEM. Tugas-tugas yang perlu dilaksanakan oleh jawatankuasa ini adalah seperti berikut:-

  • Menetapkan Dasar HEM sekolah.
  • Menyediakan belanjawan tahunan unit HEM.
  • Merancang program, aktiviti dan projek HEM selaras dengan Pelan Strategik Sekolah.
  • Melaksanakan semua program, aktiviti dan projek HEM.
  • Memantau dan menilai keberkesanan semua program, aktiviti dan projek HEM.
  • Menjalankan penambahbaikan terhadap program, aktiviti dan projek HEM.
  • Mengadakan mesyuarat dari semasa ke semasa.
  • Menyediakan minit mesyuarat mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

Program, aktiviti dan projek HEM hendaklah secara menyeluruh memberi manfaat kepada semua murid yang memerlukan. Aktiviti yang melibatkan murid-murid miskin dan anak yatim perlu diberi keutamaan. Projek ke arah pembinaan sahsiah diri semua murid perlu diadakan bagi memastikan kemenjadian murid akan menjadi kenyataan.

Bimbingan dan Kaunseling

Khidmat bimbingan dan kaunseling adalah salah satu unit sokongan yang akan membantu memperkemaskan lagi lain-lain aktiviti sekolah. Pihak pengurusan sekolah perlu menyediakan sebuah bilik khas atau ruang khas untuk digunakan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling. Bilik ini perlu dilengkapkan dengan keperluan asas seperti perabot. Unit ini juga dikehendaki menyediakan program dan aktiviti kaunseling yang akan membantu semua program dan aktiviti di dalam Pelan Strategik sekolah. Semua program dan aktiviti perlu dipantau oleh pihak pengurusan secara berkala. Kajian keberkesanan semua program dan aktiviti Bimbingan dan Kaunseling perlu diadakan dan langkah-langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan.

Sistem Kawalan Keselamatan Murid

Kawalan keselamatan murid adalah satu aktiviti yang amat penting di bawah tanggungjawab Jawatankuasa HEM. Kawalan keselamatan asas yang perlu ada di sekolah adalah:-

  • Pelan laluan kecemasan yang dipamerkan di semua bilik darjah dan tempat-tempat strategik di sekitar sekolah.
  • Alat-alat pemadam api yang berfungsi dan di selenggara di semua bangunan dan bilik-bilik khas.
  • Latihan Kebakaran dengan kerjasama pihak bomba diadakan sebanyak dua kali setahun
  • Memastikan pihak Kawalan Keselamatan Swasta yang bertugas menjalankan kawalan dan rondaan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
  • Menyediakan peraturan keselamatan di semua bilik-bilik khas mengikut keperluan bilik-bilik berkenaan.
  • Menyediakan satu sistem kawalan bagi keselamatan murid-murid semasa datang dan balik dari sekolah.
  • Mengadakan kerjasama dengan pihak-pihak berkuasa tempatan dan ibu bapa bagi memantapkan kawalan keselamatan murid-murid sekolah.
  • Mengadakan rekod keluar murid-murid yang diambil oleh ibu bapa atau waris. Kepastian tentang status waris perlu dibuat sebelum murid dibenarkan keluar mengikut waris. Nama dan nombor My Kad ibu bapa atau waris perlu direkodkan.

Persekitaran sekolah juga perlu dipantau dan diselia untuk memastikan ia selamat dan tidak akan mendatangkan bahaya kepada semua murid sekolah.

Perkhidmatan Kesihatan

Jika mempunyai kemudahan, pihak sekolah perlu menyediakan sebuah bilik rawatan untuk kegunaan Perkhidmatan Bergerak Jabatan Kesihatan. Bilik ini perlu dilengkapi dengan perabot asas, mempunyai bekalan air dan bekalan elektrik. Bilik ini juga dijaga supaya berada dalam keadaan bersih setiap masa. Jika sekolah tidak mempunyai bilik yang mencukupi, sebuah ruang yang sesuai perlu disediakan. Kerjasama semua guru amat perlu untuk membuat pengesanan awal tentang masalah kesihatan yang sedang di alami oleh murid-murid sekolah. Masalah kulit, kutu rambut dan berat badan oleh dikesan lebih awal. Ia direkodkan di dalam rekod kesihatan murid. Rekod ini akan membantu pihak Jabatan Kesihatan dalam menjalankan kerja-kerja pemulihan. Unit HEM juga perlu menyediakan program dan aktiviti yang boleh membina tahap kesihatan murid-murid. Semua program ini perlu dipantau dan dinilai keberkesanannya. Langkah penambahbaikan perlu diambil untuk memastikan program dan aktiviti yang dilaksanakan akan memberi kesan kepada tahap kesihatan murid.

Skim Pinjaman Buku Teks

Bilik Operasi SPBT perlu disediakan oleh pihak sekolah. Bilik ini perlu dilengkapi dengan rak-rak dan lain-lain perabot yang sesuai. Segala aktiviti memproseskan permohonan dan pinjaman SPBT, menyelenggara stok SPBT dan membuat hapus kira dan pelupusan buku teks mengikut keperluan akan dijalankan di bilik ini. Bilik ini perlu dijaga keceriaan, kekemasan dan kebersihannya pada setiap masa. Guru yang bertanggungjawab perlu memastikan bahawa semua murid akan diberi penerangan dan penjelasan tentang peraturan penggunaan dan penjagaan buku teks.

Disiplin Murid

Jawatankuasa HEM perlu menyediakan buku peraturan sekolah dan panduan tatatertib dan diedarkan kepada semua murid. Prosedur tindakan yang akan diambil bagi kes disiplin perlu diwujudkan selaras dengan Buku Panduan Disiplin KPM. Melantik beberapa orang pengawas sekolah di kalangan murid-murid yang mempunyai bakat kepimpinan. Pengawas-pengawas ini perlu diberi latihan dalam menjalankan tugas kawalan disiplin murid agar tidak berlaku salah guna kuasa atau tindakan di luar batasan. Murid-murid yang memerlukan perhatian khas perlu disenaraikan bagi tujuan pemantauan, bimbingan, pencegahan dan pemulihan. Program dan aktiviti bimbingan, pencegahan dan pemulihan perlu diadakan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling untuk murid-murid tersebut. Sekolah digalakkan untuk mengadakan satu sistem khas untuk memantau tahap disiplin murid seperti Sistem Demerit. Melalui sistem ini tahap disiplin murid boleh dipantau dan dipertingkatkan.

Biasiswa dan Bantuan Lain

Satu daftar murid-murid yang layak menerima biasiswa atau bantuan perlu diwujudkan. Murid-murid yang telah dikenal pasti ini perlu diuruskan permohonan mereka. Borang permohonan murid-murid ini perlu disemak dan dinilai perakuannya sebelum ia dikemukakan kepada pihak yang berkenaan. Biasiswa dan bantuan yang diberi kepada murid-murid perlu diagih dan dikawal penggunaannya. Penerima biasiswa dan bantuan perlu dipantau kemajuan dan pencapaian akademik mereka dan tindakan yang sewajarnya diambil sesuai dengan syarat yang telah ditetapkan oleh pihak penaja.

Rancangan Makanan Tambahan dan Projek Susu Sekolah

Senarai murid-murid yang layak menerima bantuan RMT dan PSS hendaklah diuruskan oleh Unit HEM. Rekod peribadi setiap murid yang layak perlu disimpan dan diselenggara dengan baik dan kemas bagi tujuan semakan oleh pihak atasan. Pemantauan perlu diadakan bagi memastikan program RMT dan PSS ini berjalan dengan baik. Mutu bekalan makanan dan susu perlu dipantau oleh guru-guru yang bertanggungjawab agar tidak berlaku penyelewengan oleh pihak pembekal atau berlaku keracunan makanan.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru

Mengapa Pengajaran & Pembelajaran Tidak Berkesan?