30 Kelemahan Ibu Bapa

1). Kurang berdoa. Ibu bapa kerap didapati kurang atau jarang mendoakan anak-anak. Doa ibu bapa adalah salah satu daripada perkara yang membawa kepada kejayaan anak-anak.

2) Memperkecilkan kebolehan anak-anak. Kerap kali anak-anak akan menunjukkan hasil kerja mereka kepada ibu bapa mereka. Ibu bapa jarang sekali memuji akan kebolehan anak-anak itu, malah diperkecil-kecilkan kebolehan mereka.

3) Kurang tegas. Setiap kali ibu bapa mengenakan syarat atau peraturan ke atas anak-anak, pelaksanaan itu tidak tegas. Ini mengakibatkan anak-anak tidak menghormati arahan yang diberikan oleh ibu bapa mereka.

4) Kurang memberi sentuhan. Anak-anak jarang sekali disentuh dengan mesra oleh ibu bapa. Kecil-kecil mereka dipeluk, dicium dan ditimang. Kemanakan hilangnya sentuhan-sentuhan ini apabila mereka meningkat dewasa.

5) Tidak menjadi kawan kepada anak-anak. Anak-anak perlu dijadikan sebagai kawan, agar segala luahan hati mereka dapat dicurahkan kepada ibu bapa tanpa segan silu.

6) Suasana dan iklim rumah. Kerap kali anak-anak mengadu bahawa rumah itu bukanlah sebuah tempat yang memberi ketenangan jiwa. Rumah perlu dijadikan syurga bagi anak-anak.

7) Penampilan diri ibu bapa tidak boleh dijadikan contoh oleh anal-anak. Ibu bapa perlu menunjukkan perwatakan yang kemas dan bergaya agar ia akan dicontohi oleh anak-anak. Penampilan diri yang kemas akan mempengaruhi pemikiran dan perwatakan anak-anak.

8) Teguran negatif yang diberikan oleh ibu bapa terhadap anak-anak akan memberi kesan yang negatif ke atas anak-anak. Sindiran dan cemuhan kerap kali didapati menyentuh hati kecil anak-anak.

9) Pendidikan yang tidak seimbang yang diberikan kepada anak-anak akan menjadikan mereka manusia yang keliru.

10) Anak-anak kurang didedahkan kepada model-model cemerlang. Mereka kerap berhadapan dengan orang dewasa yang bermasalah dan rendah peribadinya.

11) Budaya-budaya yang tidak memberi faedah telah dijadikan amalan harian. Budaya yang amalan yang baik tidak dijadikan budaya harian.

12) Anak-anak memerlukan ibu bapa sebagai tempat berbincang setiap kali sesuatu masalah timbul. Sikap bermesyuarah amat kurang diamalkan di rumah.

13) Asuhan membuat kerja rumah hanya dititikberatkan ke atas anak-anak perempuan. Jarang anak-anak lelaki diasuh melakukan kerja-kerja rumah.

14) Kawalan T.V. dan Radio. Anak-anak didapati ketagih menonton T.V. dan mendengar radio tak ada batas waktu. Sehinggakan anak-anak kerap mengabaikan kerja-kerja rumah yang diberikan oleh guru.

15) Raikan anak-anak sewaktu mereka hendak ke sekolah serta sewaktu mereka pulang dari sekolah. Restu ibu bapa amat penting sewaktu mereka hendak ke sekolah.

16) Budaya ilmu merupakan satu lagi amalan yang tidak pernah dijadikan amalan di rumah. Jarang kita dapati rumah-rumah yang mempunyai perpustakaan mini untuk kegunaan seisi keluarga.

17) Memanjakan anak-anak secara berlebihan atau mengongkong anak-anak adalah satu amalan biasa di kalangan ibu bapa. Amalan ini akan membentuk anak-anak yang tidak tahu hidup berdikari atau menjadikan mereka seseorang yang suka memberontak.

18) Apabila ibu bapa membuat janji dengan anak-anak, janji itu merupakan satu harapan yang tinggi melangit bagi anak-anak itu. Janji yang tidak dipenuhi akan mengecewakan individu di dalam kelompok itu.

19) Kerap kali pertanyaan atau soalan yang diajukan oleh anak-anak kepada ibu bapa tidak mendapat layanan yang sepatutnya. Perbuatan ini akan menghampakan anak-anak tersebut.

20) Kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak kerap dikenakan hukuman yang tidal setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan. Hukuman yang tidak adil akan mewujudkan sikap degil dan melawan di kalangan anak-anak yang dihukum.

21) Melarang anak-anak bermesra dengan buku-buku atau bahan-bahan bacaan yang terdapat di rumah. Anak-anak kerap dipukul atau dimarahi apabila berlaku sesuatu ke atas buku yang sedang dipegang. Akibatnya anak-anak akan membenci buku.

22) Membiarkan anak-anak bangun lewat setiap pagi. Malah ada ibu bapa yang merasa bangga yang anaknya bangun lambat. Akibatnya anak ini akan membesar sebagai orang yang suka bangun lambat.

23) Membiarkan anak-anak bermain tanpa ada batasan waktu. Akibatnya anak-anak ini akan membesar sebagai seorang manusia yang tidak tahu mengurus masa dengan berfaedah.

24) Mengguna bahasa kesat dalam perbualan harian. Maki hamun dan sumpah seranah menjadi kebiasaan. Akibatnya anak-anak juga akan mengamalkan tutur kata yang sehingga dewasa.

25) Berlaku kasar sesama suami isteri di hadapan anak-anak. Menjawab dengan kasar, menengking dan tidak melayan permintaan masing-masing. Akibatnya anak-anak akan bersikap kasar dengan sesiapa sahaja yang berhubung dengan mereka.

26) Bersikap sambil lewa terhadap tuntutan agama. Ibu bapa tidak mengamalkan amalan wajib agama, malah ada yang langsung tidak pernah melaksanakan kewajipan yang dituntut oleh agama. Akibatnya anak-anak akan membesar sebagai seorang manusia yang tiada pegangan agama.

27) Tidak mengamalkan makan secara berjemaah. Anak-anak dibiarkan makan secara sendirian. Akibatnya kemesraan dan hubungan di antara ahli-ahli keluarga menjadi longgar. Masing-masing dengan hal masing-masing.

28) Memberi anak-anak mainan yang berunsur ganas seperti pistol, pedang dan senapang.Mainan berunsur pendidikan jarang diutamakan. Akibatnya perkembangan minda anak-anak adalah terhad kerana tidak pernah diasah melalui permainan yang mencabar minda.

29) Membiarkan anak-anak mengambil makanan yang tidak berkhasiat seperti makan-makan ringan. Akibatnya anak-anak menjadi obes dan lembap kerana memakan makanan yang mengandungi karbohidrat dan gula yang berlebihan.

30) Masa yang bermutu “Quality Time” bersama anak-anak tidak dijadikan amalan harian di dalam sesebuah keluarga. Akibatnya anak-anak menjadi terbiar dan bergantung lebih kepada penjaga/pengasuh serta rakan-rakan sebaya sebagai sumber rujukan.

Adalah diharapkan catatan di atas akan dapat dimanfaatkan oleh semua ibu bapa agar akan wujud kelompok keluarga yang bermutu dan cemerlang yang akan menjadikan masyarakat kita satu masyarakat yang cemerlang.

“KE ARAH MASYARAKAT CEMERLANG MELALUI KELUARGA CEMERLANG”


Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru

Mengapa Pengajaran & Pembelajaran Tidak Berkesan?