SKPM Bahagian 4C

Elemen 7 – Pengurusan Maklumat

Pengurusan sekolah perlu mengurus segala maklumat sekolah secara berkesan agar ia boleh digunakan untuk rujukan pihak-pihak yang berkenaan. Segala maklumat yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran sekolah seperti carta organisasi pengurusan dan pentadbiran, sumber manusia, sumber kewangan dan stok serta inventori perlu dikemaskini dan disimpan di dalam pengkalan data yang boleh diakses oleh warga sekolah melalui rangkaian komputer sekolah. Lain-lain maklumat daripada Unit Kurikulum, Unit Hal Ehwal Murid dan Unit Kokurikulum juga perlu diperolehi dan dikemaskini setiap masa. Pihak pengurusan juga perlu mendapatkan maklumat-maklumat terkini daripada Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Maklumat kurikulum seperti pencapaian akademik sekolah, pencapaian akademik setiap aliran dan setiap mata pelajaran perlu diperolehi dan disimpan di dalam pengkalan data sekolah. Lain-lain maklumat yang perlu diperolehi dan disimpan adalah maklumat disiplin murid, maklumat murid-murid miskin dan anak-anak yatim. Pencapaian sekolah dalam bidang kokurikulum juga amat penting direkodkan. Semua maklumat ini perlu sentiasa dilengkapkan dan dikemaskini bagi kemudahan rujukan dan semakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Semua maklumat tersebut perlu juga didokumentasikan dalam bentuk laporan yang boleh diedarkan kepada guru-guru dan staf sokongan bagi tujuan makluman dan rujukan. Maklumat-maklumat yang tidak dikelasifikasikan sebagai sulit boleh juga diedarkan kepada ibu bapa. Maklumat mengenai kemudahan yang ada di sekolah, enrolmen murid dan guru serta pencapaian akademik dan kokurikulum boleh diedarkan kepada ibu bapa. Semua maklumat yang disebutkan tadi perlu disimpan di dalam satu pengkalan data yang mudah diperolehi melalui rangkaian komputer sekolah. Untuk keselamatan, maklumat-maklumat sulit perlu dikawal agar tidak diperolehi dengan mudah oleh semua warga sekolah. Maklumat yang telah didokumentasikan boleh digunakan oleh Jawatankuasa Pembangunan Sekolah dan lain-lain jawatankuasa sebagai sumber rujukan untuk membuat perancangan pembangunan sekolah. Maklumat-maklumat ini juga boleh digunakan untuk mengukur tahap pencapaian dan prestasi sekolah. Maklumat-maklumat sekolah juga perlu disediakan dalam bentuk Powerpoint agar mudah digunakan untuk memberi taklimat kepada pihak-pihak yang berkepentingan. Setiap unit perlu melantik seorang guru atau pegawai yang bertanggungjawab untuk mengemaskinikan semua data yang disimpan.

Kita telah selesai membicarakan Dimensi 2 – Pengurusan Organisasi yang mengandungi tujuh elemen di dalamnya. Dalam keluaran akan datang kita akan membicarakan pula Dimensi 3 – Pengurusan Program Pendidikan yang mengandungi empat elemen iaitu elemen 8 hingga elemen 11. Dimensi 3 di dalam IPS SKPM adalah salah satu yang terpenting kerana ia mengandungi aspek-aspek pengurusan program-program kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum. Dalam Elemen 9 – Pengajaran dan Pembelajaran merupakan satu bahagian yang amat penting bagi menentukan tahap dan mutu pengajaran dan pembelajaran seorang guru. Insyallah kita akan bicarakan bahagian ini dengan lebih mendalam lagi.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru

Mengapa Pengajaran & Pembelajaran Tidak Berkesan?