SKPM Bahagian 4b(Sambungan)

Elemen 6 – Pengurusan dan Pembangunan Sumber

Pengurusan Kemudahan dan Keperluan Asas
Bangunan dan kawasan sekolah hendaklah diuruskan dengan baik dan berkesan. Segala kemudahan yang terdapat di sekolah diguna dan dimunafaatkan sepenuhnya. Sistem penyelenggaraan bangunan dan kawasan sekolah perlu diadakan. Pemeriksaan berkala ke atas segala kemudahan yang ada perlu dibuat dan satu laporan diserahkan ke Pejabat Pelajaran Daerah untuk makluman dan tindakan. Satu senarai semak penyelenggaraan perlu diadakan. Penyelenggaraan kecil yang tidak melibatkan kewangan yang besar bolehlah dilakukan oleh pihak sekolah. Pihak sekolah perlu memastikan bahawa segala Peraturan Keselamatan dan AP Bab 8 dipatuhi. Jawatankuasa pembangunan sekolah perlu membuat kajian dan perancangan pembangunan masa depan sekolah. Kerja-kerja naik taraf dan bangunan baru perlu dirancang dan didokumentasikan. Satu salinan dokumen tersebut perlu dikemukakan kepada Unit Pembangunan Pejabat Pelajaran Daerah. Selain daripada bangunan sekolah lain-lain kemudahan seperti perabot, utiliti dan kemudahan komunikasi juga perlu dipantau dan diselenggara sebagaimana bangunan dan kawasan sekolah.
Pemeriksaan stok dan inventori perlu dilakukan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Satu sistem baik pulih dan penyelenggaraan perabot dan inventori perli diadakan. Kantin sekolah adalah satu daripada unit yang memerlukan pemantauan dan kawalan yang ketat. Kemudahan yang perlu ada hendaklah mencukupi dan berada di dalam keadaan selamat dan baik. Jawatankuasa Kantin sekolah perlu mempunyai satu sistem pemantauan yang baik dan cekap. Segala peraturan perlulah dipatuhi oleh pengusaha kantin sekolah. Makanan yang disediakan perlu dipantau untuk memastikan kualiti dan kebersihannya.

Pengurusan Kewangan
Jawatankuasa Kewangan Sekolah hendaklah diwujudkan dan berfungsi dengan aktif dan berkesan. Antara tugas jawatankuasa ini adalah mengadakan mesyuarat sebanyak empat kali setahun. Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab dalam merancang anggaran belanjawan tahunan sekolah. Setiap panitia mata pelajaran akan diperuntukkan sejumlah wang untuk dibelanjakan bagi tahun kewangan semasa. Peruntukkan ini akan diagih mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Segala pembelian yang ingin dibuat oleh setiap unit perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa Kewangan sekolah. Pembelian hendaklah dibuat mengikut keutamaan. Semua rekod transaksi kewangan hendaklah disimpan dengan kemaskini dan teratur. Satu Jawatankuasa Audit Dalaman perlu diwujudkan bagi mengaudit segala transaksi kewangan, stok dan inventori secara berkala. Ahli-ahli jawatankuasa ingin hendaklah terdiri daripada anggota yang tiada kaitan dengan urusan kewangan sekolah. Semua rekod stok dan inventori hendaklah disimpan dengan kemas dan teratur. Proses pelupusan perlu dilakukan setiap tahun supaya stok dan inventori sekolah berada dalam keadaan kemaskini.

Pengurusan Sumber Manusia
Pihak pengurusan sekolah perlu membuat analisis dan kajian keperluan sumber manusia pada setiap tahun. Segala keperluan hendaklah dihantar ke Pejabat Pelajaran Daerah untuk makluman dan tindakan. Agihan tugas dibuat berdasarkan kelayakan, pengalaman dan minat seseorang dan juga mengikut keperluan sekolah. Agihan tugas hendaklah dilakukan secara seimbang. Setiap guru dan staf yang bertugas di sekolah hendaklah diberi senarai tugas, perincian tugas dan manual prosedur kerja bagi setiap tugas yang ditetapkan. Peraturan dan Prosedur Tatatertib perlu diedarkan kepada semua guru dan staf. Satu majlis penerangan perlu diadakan bagi memastikan semua guru dan staf memahami peraturan dan prosedur disiplin perkhidmatan. Pihak pengurusan sekolah perlu mengambil tindakan mengikut prosedur yang telah ditetapkan bagi setiap pelanggaran peraturan. Program pembangunan staf perlu diadakan bagi memastikan semua staf sentiasa dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran terkini. Program pembangunan staf perlu dirancang mengikut keperluan yang telah dikenal pasti melalui kajian keperluan. Selain daripada itu pihak sekolah juga perlu melaksanakan program orientasi bagi semua guru dan staf sokongan baru. Guru dan staf baru ini perlu perkenalkan kepada semua warga sekolah, mereka juga perlu diperjelaskan Visi dan Misi sekolah, budaya kerja sekolah dan latar belakang sekolah. Segala bantuan yang diperlukan oleh guru dan staf baru akan diuruskan oleh pihak pengurusan sekolah. Guru dan staf baru akan sentiasa diberi bimbingan dalam melaksanakan tugas masing-masing.



Pengurusan Pejabat
Pejabat sekolah merupakan lokasi utama dan terpenting. Ia merupakan tempat di mana segala urusan yang berkaitan dengan sekolah bermula. Ia ada tempat di mana ibu bapa, pelawat dan pegawai jabatan akan membuat urusan. Susun atur perabot di pejabat perlu kemas dan mesra pengguna. Khidmat kaunter dan telekomunikasi hendaklah mesra pelanggan. Sistem fail yang sistematik dan kemas perlu diadakan. Kawalan keselamatan pejabat perlu menyeluruh bagi memastikan segala dokumen penting tidak terdedah kepada pautan orang-orang yang tidak berkenaan. Khidmat sokongan kepada pembelajaran dan pengajaran perlu ada di pejabat bagi kemudahan unit kurikulum sekolah. Prosedur kerja dan ketepatan masa kerja bagi semua staf pejabat perlu dipantau secara berterusan.

Pengurusan Bahan Kurikulum
Pengurusan bahan kurikulum hendaklah diserahkan kepada panitia mata pelajaran masing-masing. Satu kajian dan analisis keperluan mengikut keutamaan perlu dibuat. Bahan-bahan akan diperolehi setelah dipersetujui di dalam mesyuarat Jawatankuasa Kewangan sekolah. Bahan-bahan yang akan dipereolehi adalah untuk kurikulum, kokurikulum dan juga pembangunan sahsiah murid. Satu sistem pinjaman dan penggunaan perlu diwujudkan bagi memudah peminjaman dan pengurusan bahan. Semua bahan yang dipeolehi hendaklah disimpan di tempat yang selamat dan sentiasa dipantau dan diselenggara.

Satu lagi elemen yang belum dibicarakan adalah Elemen 7 – Pengurusan Maklumat. Elemen ini amat penting dari segi pemerolehan maklumat hinggalah kepada pengemaskinian maklumat. Kita bicarakan elemen ini dengan lebih mendalam lagi akan datang. Insyaallah.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru

Mengapa Pengajaran & Pembelajaran Tidak Berkesan?