SKPM Bhagaian 2

Sebagaimana yang telah diketahui bahawa SKPM dibahagi kepada empat dimensi dan dua belas elemen. Kita akan bincangkan satu persatu daripada elemen berikut. Dalam Dimensi 1 – Hala tuju Kepimpinan, Elemen pertama yang dinilai adalah Visi dan Misi sesebuah sekolah itu. Visi dan Misi sesebuah sekolah itu adalah kunci ke arah kecemerlangan atau hala tuju yang hendak dicapai dalam masa yang ditetapkan. Pernyataan Visi sesebuah sekolah kerap kali disediakan oleh pihak Guru Besar secara sendirian tanpa ada sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak.. Visi itu adalah visi ataupun impian yang ingin dicapai oleh Guru Besar tersebut bagi sekolah yang sedang dipimpin. Kerap kali berlaku pertukaran visi apabila berlaku pertukaran Guru Besar. Ini menyebabkan warga sekolah berada dalam keadaan keliru kerana visi yang dahulu masih belum dapat dihayati dan dilaksanakan sudah datang yang baru yang perlu dihayati semula. Akibatnya sekolah tersebut tidak dapat mencapai kejayaan yang sepatutnya.

Dalam menentukan Visi sesebuah sekolah, pihak pengurusan perlu mengadakan perbincangan sama ada secara kumpulan-kumpulan kecil ataupun secara mesyuarat yang disertai oleh semua warga sekolah. Visi yang hendak dicapai hendaklah dibina bersama dengan semua warga sekolah. Falsafah Pendidikan Kebangsaan, wawasan negara dan juga perkembangan pendidikan semasa perlu diambil kira. Apa yang perlu adalah setiap warga sekolah diberi peluang untuk menyatakan apakah yang mereka mahu berlaku di sekolah itu. Pandangan dan pendapat semua warga sekolah itu akan bincang bersama sehingga tercapai satu persetujuan tentang visi atau hala tuju yang ingin dicapai. Kajian kelemahan, kekuatan, peluang dan ancaman yang sedia ada di sekolah perlu diambil kira semasa membina visi sekolah. Apabila semua warga sekolah iaitu guru, pekerja am, kakitangan pejabat dan juga PIBG telah bersetuju dengan hala tuju yang ingin dicapai barulah Visi sekolah dapat dibina. Visi yang hendak dinyatakan hendaklah ringkas dan padat serta jelas dan boleh dicapai. Pernyataan Visi perlu mempunyai matlamat dan jangkamasa yang jelas. Apakah matlamat yang ingin dicapai dan bila ia mesti dicapai, mesti dinyatakan di dalam Visi. Sebagai contoh sebuah visi yang jelas dan nyata adalah “Sekolah ABC adalah sekolah Cemerlang mengikut Standard Kualiti Pendidikan Malaysia pada 2011” Visi ini dengan jelasnya menyatakan bahawa dalam masa lima tahun ( 2007 -2011) sekolah ABC adalah sekolah Cemerlang. Pernyataan visi ini akan memudahkan pihak sekolah untuk merancang program-program pembangunan semua aspek dalam keempat-empat dimensi SKPM dalam ruang lingkup masa yang telah ditetapkan..

Setelah dapat menyediakan Visi sekolah dengan baik maka pernyataan Misi pula perlu dibina berlandaskan pernyataan Visi tadi. Melalui Misi sekolah, langkah-langkah yang perlu diambil dinyatakan bagi memastikan Visi akan menjadi kenyataan. Misi sekolah tidak boleh dibina tanpa merujuk kepada Visi sekolah. Ini adalah kerana Misi sekolah adalah tindakan-tindakan yang akan diambil untuk memastikan Visi menjadi kenyataan. Terdapat juga sekolah-sekolah yang membina Misi sekolah yang langsung tiada kaitan dengan Visi sekolahnya. Pernyataan Visi dan Misi sekolah setelah siap dibina perlu dicetak dan diperbanyakkan serta dipamerkan di semua bilik darjah, papan kenyataan kelab dan persatuan, di semua bilik-bilik khas malah diedarkan kepada semua ibu bapa murid-murid sekolah. Ia juga perlu di dokumentasikan ke dalam semua dokumen perancangan sekolah, buku rekod guru dan lain-lain dokumen yang terdapat di sekolah. Pihak sekolah dengan kerjasama PIBG perlu mengadakan satu sesi penerangan kepada semua ibu bapa tentang Visi dan Misi sekolah agar nanti segala program yang akan dilaksanakan oleh pihak sekolah akan disokong oleh semua ibu bapa. Di dalam sesi penerangan dan perbincangan itu ibu bapa perlu diberi peluang secukupnya untuk berinteraksi dan bersoal jawab mengenai Visi dan Misi sekolah agar kelak tidak akan berlaku salah faham di antara pihak sekolah dan ibu bapa. Kerap kali sekolah menerima aduan ataupun rasa tidak puas hati di kalangan ibu bapa berpunca dari salah faham atau kejahilan mengenai dasar atau program yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah mahupun pihak atasan. Kejayaan sesuatu program di sesebuah sekolah itu bergantung pada sokongan dan kerjasama ibu bapa. Sesi penerangan juga perlu dilakukan oleh guru-guru kepada semua murid. Semua murid sekolah perlu tahu dan faham tentang Visi dan Misi sekolah agar mereka juga akan memberi tumpuan yang jelas ke arah kejayaan Visi dan Misi sekolah. Setiap murid perlu tahu apakah tugas dan tanggungjawab mereka dalam menjadikan Visi sekolah satu kenyataan. Saya penuh yakin bahawa sekolah yang mempunyai warga yang memahami Visi dan Misi sekolah itu akan berjaya dalam semua program yang dijalankan. Adalah mustahil sesebuah sekolah itu akan gagal dalam usahanya untuk mencapai Visi sekolahnya jika semua warga sekolah itu bergerak bersama-sama ke arah matlamat yang ingin dicapai. Setiap tahun pernyataan Visi dan Misi sekolah perlu dikaji semula untuk memastikan yang ianya masih memenuhi keperluan yang sedia ada. Pengubahsuaian boleh dilakukan jika terdapat keperluan untuknya.

Semasa saya sedang berkhidmat sebagai Penyelia Pendidikan di sebuah daerah, saya pernah melihat dan menilai sekolah-sekolah yang saya lawati. Saya dapati kebanyakan sekolah-sekolah itu tidak mempunyai Visi dan Misi yang jelas dan nyata. Malah ada sekolah yang membina Visi dan Misi yang berada di luar kemampuannya. Ada juga sekolah yang mempunyai Visi dan Misi yang baik serta jelas tetapi malangnya semua warga sekolah tidak menghayati dan memahami apakah hala tuju yang ingin dicapai. Visi dan Misi sekolah hanya sebagai perhiasan yang dipamerkan di sekitar sekolah. Ia hanya sekadar memenuhi kehendak pihak Nazir, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah. Kita dapati sekolah-sekolah seperti ni tidak menunjuk sebarang perubahan ke arah kecemerlangan. Ia sekadar wujud sebagai sebuah sekolah biasa yang hanya mementingkan keputusan peperiksaan ataupun sekadar sebuah sekolah yang hanya memberi pendidikan tanpa sebarang matlamat khas yang jelas. Sekolah-sekolah ini biasa dikategorikan sebagai “The Sinking School”. Apa yang menyedihkan adalah kebanyakan sekolah yang telah saya lawati adalah sekolah-sekolah yang dianggap biasa atau “Cruising” tanpa sebarang matlamat atau hala tuju yang jelas dan nyata. Elemen yang diambil berat hanyalah Elemen 12.2 dalam Dimensi 4 iaitu Pencapaian Murid Sekolah Rendah. Kejayaan sesebuah sekolah itu bergantung amat kuat kepada corak kepimpinan yang ada di sekolah itu. Ini dapat diukur melalui Elemen 2 – Kepimpinan di dalam Dimensi 1. Corak kepimpinan sesebuah sekolah itu amat penting dalam memastikan semua warga sekolah bergerak ke arah matlamat dan hala tuju yang sama. Elemen kepimpinan yang penting yang perlu ada pada semua pengurus sekolah adalah penghayatan dan pemahaman mengenai segala Dasar Kementerian Pelajaran Malaysia. Tanpa penghayatan dan pemahaman segala peraturan, pekeliling dan program-program Kementerian, agak sukar bagi seorang pengurus sekolah itu untuk mengurus sekolahnya dengan baik dan cemerlang. Seorang pengurus sekolah perlu mempunyai pengetahuan yang agak luas kerana beliau adalah tempat di mana warga sekolah membuat rujukan.

Kita akan bincang dengan lebih lanjut lagi mengenai Elemen 2 – Kepimpinan ini dalam sesi yang akan datang.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru

Mengapa Pengajaran & Pembelajaran Tidak Berkesan?