KE MANA ARAH TUJU PENDIDIKAN NEGARA?

Keputusan peperiksaan awam telah selesai diumum bermula dengan UPSR sehinggalah SPM. Pihak media memuatkan kisah kejayaan dan kecemerlangan pelajar di dalam media masing-masing. Ada ibu bapa yang gembira dan berasa bangga atas kejayaan anak mereka. Tidak kurang juga yang bersa hampa dan sedih mungkin malu dengan keputusan anak masing-masing. Malah ada juga yang tak ambil kisah pun sama ada anak mereka berjaya dengan cemerlang atau tidak. Ada yang bertindak diluar kawalan dengan memarahi dan menghukum anak-anak yang gagal atau tidak cemerlang. Tekanan yang amat tinggi berlaku dikalangan anak-anak dan ibu bapa yang berkenaan.

Senario di atas membuat saya tertanya "Ke manakah arah tuju pendidikan negara kita?"
Menurut prinsip Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), pendidikan di negara ini adalah berasaskan prinsip memberi peluang yang secukupnya untuk setiap individu itu mengembangkan potensi diri mengikut kemampuan masing-masing. Persoalannya, adakah pelajar kita diberi peluang secukupnya untuk mengembangkan potensi masing-masing? Apa yang berlaku adalah anak-anak kita telah dikategorikan mengikut kemampuan masing-masing. Ini berlaku semata-mata kerana pihak guru ingin memastikan anak didiknya akan berjaya, pihak Guru Besar pula ingin menjaga prestasi sekolahnya agar tidak disenaraikan sebagai Sekolah Prestasi Rendah (SPR), pihak Pejabat Pelajaran Daerah pula bertungkus lumus untuk menjadikan daerahnya terbaik dalam percapaian KEPUTUSAN PEPERIKSAAN AWAM seterusnya di peringkat negeri masing-masing menumpukan sepenuh tenaga untuk menjadi yang terbaik dalam AKADEMIK.

Sekali lagi saya agak keliru dengan senario ini. Kalau tak salah saya, matlamat yang ingin dicapai oleh Kementerian Pelajaran Malaysia ialah menghasilkan rakyat yang seimbang dirinya dari segi Intelektual, Jasmani, Emosi dan Rohani. Apa yang sedang berlaku adalah perlumbaan untuk CEMERLANG dalam AKADEMIK. Sehinggakan Bayaran Insentif juga diberikan kepada sekolah yang menunjukkan LONJAKAN SAUJANA dalam pencapaian akademik tahunan. Sekolah-sekolah yang telah menunjukkan peningkatan dalam prestasi secara keseluruhan mengikut Penarafan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM)sepatutnya diberi pengiktirafan sewajarnya. Apakah maksud dan tujuan mewujudkan SKPM sedangkan setiap kali kita memilih sekolah untuk sesuatu anugerah, SKPM tidak dijadikan kayu pengukur.

Berbalik kepada anak-anak yang telah dinafikan hak untuk memajukan diri dalam pendidikan mengikut kemampuan masing-masing. Oh ya, ada yang mengatakan mengkategorikan anak-anak ini akan membantu mereka untuk merancang program dan tindakan untuk menyelesaikan masalah kelemahan akademik anak-anak tersebut. Ya benar, tapi cuba kita tanya guru-guru kita yang ditugaskan untuk mendidik mereka dari kategori LEMAH ini? Apa agaknya reaksi dan respon mereka? Berapa bersungguhkah guru-guru ini dalam usaha untuk memajukan kemampuan dan prestasi anak-anak ini. Rasanya boleh dibilang dengan jari. Kalaulah ramai guru yang akan bertungkus lumus dan bersungguh dalam usaha untuk mengatasi masalah defisit dalam Pelajaran dan Pembelajaran sudah tentu Kementerian tak perlu berbelanja berjuta ringgit untuk menjalankan berbagai program PEMULIHAN di seluruh negara. Jika kelemahan dalam P&P dikesan dan dipulihkan sejak dari Tahun 1 lagi sudah tentu tidak akan berlaku defisit dalam pelajaran dan pembelajaran. Jika setiap guru menjalankan AUDIT dalam P&P secara berterusan sudah tentu masalah pembelajaran akan dapat diatasi sebelum ia menjadi lebih besar dan teruk. Agak pelik apabila kita mendengar guru-guru di sekolah menengah mengadu tentang ramainya pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang masih tidak menguasai kemahiran 3M. Cuba bayangkan apakah yang telah berlaku sepanjang enam tahun di sekolah rendah. Saya percaya masalah ini dapat diselesaikan jika semua pihak yang ada kaitan dengan pelajar-pelajar berikut memainkan peranan masing-masing. Bermula dari rumah, di mana ibu bapa menjalankan tanggungjawab membantu anak-anak dalam menguasai kemahiran yang diajar di sekolah hinggalah kepada para guru yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab. Setiap pelajar hendak telah menguasai kemahiran asas Membaca, Menulis dan Mengira (3M) pada akhir Tahun 3 di sekolah rendah. Itu yang termaktub dalam matlamat dan objektif KBSR. Oh ya, masih ingatkah apa itu KBSR? Jika matlamat ini tidak dicapai, maka pendidikan selama tiga tahun itu dikataan GAGAL. Segala program dan aktiviti yang akan dijalankan di semua sekolah perlu berpandukan matlamat dan objektif FPK, KBSR, KBSM dan Dasar Pelajaran Negara. Apabila matlamat dan objektif ini diabaikan, maka berlakulah kepincangan dalam pendidikan.

Insya Allah akan saya sambung perbicaraan ini di lain masa pada masa depan.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Guru Pembantu atau Pembantu Guru?

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru