Guru Pembantu atau Pembantu Guru?

Satu perkembangan yang amat menarik telah berlaku baru-baru ini mengenai pendidikan di negara kita. Tahniah saya ucapkan kepada YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran yang begitu bersungguh-sungguh untuk memperbaiki sistem pendidikan negara.

Langkah untuk mewujudkan jawatan GURU PEMBANTU (GP) adalah sesuatu yang telah lama ditunggu oleh para guru. Walaubagaimana pun banyak yang masih agak kabur tentang tugas dan tanggungjawab mereka. Banyak persoalan yang perlu dihalusi dan diberi tumpuan sebelum ianya menjadi satu kenyataan. Tujuan mewujudkan jawatan Guru Pembantu adalah untuk meringankan beban tugas Guru Bilik Darjah. Kita perlu lihat apakah beban tugas yang nak kita ringankan? Adakah ia tugas Pengajaran dan Pembelajaran atau tugas Pengurusan dan Pentadbiran? Jika jawatan Guru Pembantu itu hanya semata-mata untuk membantu guru menyelesaikan kerja-kerja pengurusan, ia adalah satu pembaziran tenaga kerja. Cuba kita senaraikan tugas-tugas yang dimaksudkan:

1. Melengkapkan data pelajar dalam Kad 001, Kad Kesihatan dan juga lain-lain perisian komputer yang telah diguna pakai oleh pihak KPM.
2. Markah dan Gred pelajar dalam Fail Kemajuan atau Perisian Komputer.
3. Urusan SPBT, KWAMP, dan lain-lain urusan HEM.

Kerja-kerja yang telah saya senaraikan adalah kerja-kerja yang dilakukan secara berkala. Ianya bukan kerja atau tugas harian. Bagaimanakah caranya untuk kita mengurangkan tugas-tugas menanda kerja-kerja harian pelajar, kertas jawapan penilaian, buku-buku rampaian kerja dan lain-lain kerja pelajar. Jika tugas dan tanggungjawab Guru Pembantu adalah untuk sama-sama berada di dalam bilik darjah menjalankan P&P sudah tentu kerja-kerja tadi akan menjadi ringan. Sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh KPM bagi subjek Pendidikan Islam melalui program JQAF beban tugas P&P guru-guru Pendidikan Islam telah diringankan. Hasilnya? P&P subjek Pendidikan Islam menjadi lebih berkesan dan berjaya. Melalui sistem JQAF bilangan pelajar yang dididik oleh seorang guru itu menjadi kecil. Perkara yang sama boleh dilakukan untuk subjek-subjek lain. Untuk menyelesaikan masalah kepadatan kelas KPM perlu menambah bilik darjah. Ini akan melibatkan kos yang amat tinggi kerana pada masa yang sama KPM perlu juga menambah bilangan guru. Tindak tersebut akan melibatkan kos binaan dan kos tenaga kerja, sedangkan menambah bilangan guru melalui jawatan Guru Pembantu akan hanya melibatkan satu kos sahaja.

Jika Guru Pembantu itu hanya untuk meringankan beban tugas pengurusan maka saya rasa jawatan Guru Pembantu perlu diubah kepada Pembantu Guru bersesuaian dengan tugas yang akan dilakukan. Malahan ada sekolah yang telah menggunakan khidmat ibu bapa untuk menyelesaikan beberapa tugas pengurusan seperti mengisi maklumat pelajar dalam buku Rekod Kesihatan, Rekod Pergigian dan semua Borang yang berkaitan dengan bantuan pelajar. Sama-sama lah kita tunggu dan lihat apakah sebenarnya peranan yang akan diberikan kepada Guru Pembantu yang akan diwujudkan kelak.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru