PPPM 2013 - 2025 : Aspirasi Plan

Saya ingin berkongsi pengetahuan mengenai Plan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025 yang saya percaya tidak ramai daripada kita orang awam tahu apakah itu PPPM 2013 - 2025. Mari kita lihat secara ringkas apakah yang telah dirancangkan oleh pihak yang berkenaan.

Perkara utama yang diutarakan dalam plan ini adalah 3 objektif khusus iaitu :-

1. Memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia dengan memberi tumpuan terhadap
a) akses kepada pendidikan,
b) meningkatkan standard (kualiti),
c) merapatkan jurang pencapaian (ekuiti),
d) mengukuhkan perpaduan dalam kalangan murid, serta
e) mengoptimumkan kecekapan sistem;

2. Mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk setiap murid dan sistem pendidikan secara keseluruhan bagi tempoh 13 tahun akan datang; dan

3. Menggariskan transformasi sistem pendidikan yang komprehensif merangkumi perubahan penting dalam Kementerian bagi memenuhi permintaan baharu dan harapan tinggi masyarakat, serta mencetus dan menyokong transformasi perkhidmatan awam.

( m.s. E-3 - PPPM 2013 - 2025 )

Ini akan disokong dengan pendekatan-pendekatan berikut:-

1. Pelaburan signifikan dan manpan dalam pendidikan di mana pada 2008 (16%) ia telah melebihi purata OECD ( Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi )
2. Peningkatan akses kepada pendidikan di mana telah didapati bahawa kadar enrolmen telah meningkat secara nyata serta kadar keciciran pula telah menurun juga secara nyata.
3. Pembangunan murid adalah menyeluruh berpaksikan Falsafah Pendidikan Negara.
4. Meningkatakan kedudukan pendidikan negara pada Standard Antarabangsa adalah salah satu matlamat yang ingin dicapai. Skor purata murid-murid kita dalam TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study ) menunjukkan prestasi menurun ke tahap di bawah purata antarabangsa dalam penguasaan minimum Matematik dan Sains, dan juga dalam PISA (Programme for International Student Assessment) murid Malaysia terletak di dalam kelompok satu pertiga terbawah ia itu di tempat ke 54 bagi kemahiran membaca, matematik di tempat ke 57 dan sains di tempat ke 52.

Peningkatan dalam enrolmen sekolah-sekolah mengikut etnik semakin ketara sehingga dapat dilihat wujudnya pengasingan secara tidak langsung di kalangan murid-murid berbagai kumpulan etnik. Interaksi antara mereka menjadi berkurangan. Maka salah satu agenda penting Plan ini adalah untuk menyediakan program bagi menggalakkan murid dari berbagai entik berinteraksi. Bagi tujuan ini satu rancangan yang dikenali sebagai RIMUP (Rancangan Intergrasi Murid Untuk Perpaduan) telah diwujudkan. Walau bagaimanapun ia dilihat gagal dilaksanakan dengan baik kerana kekangan peruntukan.

Mari kita lihat pula apakah aspirasi Plan ini. Ia dibahagi kepada dua iaitu: Aspirasi Sistem dan Aspirasi Murid.

Aspirasi Sistem: Terdapat 5 aspirasi bagi Sistem

1. Akses - Setiap kanak-kanak warganegara Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing.

2. Kualiti - Semua kanak-kanak akan berpeluang mendapat pendidikan cemerlang berdasarkan keunikan sistem pendidikan di Malaysia, dan setanding dengan sistem pendidikan antarabangsa.

3. Ekuiti - Sistem pendidikan berprestasi tinggi menyediakan pendidikan yang terbaik kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira kedudukan geografi, gender atau latar belakang sosioekonomi.

4. Perpaduan - berhasrat menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman dan aspirasi demi membentuk dan memperkukuhkan lagi asas perpaduan rakyat Malaysia.

5. Kecekapan - berhasrat untuk memaksimumkan keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa.

Aspirasi Murid : Terdapat 6 aspirasi bagi Murid.

1. Pengetahuan - setiap kanak-kanak perlu menguasai sepenuhnya kemahiran literasi dan numerasi, serta menguasai mata pelajaran teras seperti Matematik dan Sains.

2. Kemahiran Berfikir - Setiap murid perlu menguasai pelbagai kemahiran kognitif termasuk penaakulan dan pemikiran kritis, kreatif, serta inovatif. Ini kurang diberi perhatian buat masa ini.

3. Kemahiran Memimpin - kebolehan untuk memimpin dan bekerja dengan orang lain secara berkesan adalah amat penting. Ia merangkumi empat dimensi, iaitu keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi,

4. Kemahiran Dwibahasa - Setiap kanak-kanak akan menguasai bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan serta bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa. Murid juga akan digalakkan untuk menguasai bahasa ketiga.

5. Etika dan Kerohanian - memupuk etika dan kerohanian dalam diri setiap murid bagi mendepani cabaran yang akan ditempuhi dalam kehidupan dewasa, agar mereka boleh menyelesaikan konflik secara harmoni, bijak membuat pertimbangan, berpegang kepada prinsip ketika berada dalam
situasi yang kritikal, serta berani melakukan sesuatu yang betul.

6. Identiti Nasional - Semangat patriotik perlu dipupuk dalam diri setiap murid dengan cara memahami sejarah negara, dan berkongsi aspirasi yang sama untuk masa depan negara agar daat membentuk sati Identiti Nasional yang kukuh.

(Petikan dan abstrak dari buku Plan Pembangunan Pendidikan 2013 - 2025 )

Kita akan bincang dan kupas mengenai perkara-perkara di atas pada posting akan datang. Apa yang saya harapkan adalah pandangan dan pendapat dari kalangan para guru yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan Plan ini. Mereka adalah pengerak yang akan menentukan sama ada Plan ini akan berjaya dan menjadi kenyataan pada 2025 kelak. Insya Allah.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Guru Pembantu atau Pembantu Guru?

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru