Bayaran Insentif - Satu Pandangan

Tahniah kepada Kementerian Pendidikan Malaysia di atas satu lagi program yang memberi semangat kepada para guru untuk berusaha dengan lebih kuat untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pendidikan. Alangkah seronoknya jika seorang Guru Besar itu dipilih sebabagi Guru Besar yang berjaya. Apa tidaknya, ganjaran yang akan diperolehinya ialah sebanyak RM7,500.00 ( Tujuh Ribu Lima Ratus Ringgit ). Sudah tentulah ramai Guru Besar yang akan mula berkerja keras untuk mendapat bayaran insentif tersebut. Maka akan wujudlah berbagai program dan rancangan yang difikirkan siang dan malam untuk mencapai lonjakan dalam keputusan peperiksaan UPSR. Projek demi projek dan program demi program dirancangan itu akan dibentangkan kepada para guru di sekolah. Tanpa banyak soal para guru pun bergeraklah untuk menjayakan projek atau program tersebut. Apakah agaknya yang difikirkan oleh para guru di sekolah tersebut. Para guru pun akan dapat juga bayaran insentif, tapi taklah sebanyak mana yang dibayar kepada Guru Besar. Amaun yang dibayar kepada guru hanya sebanyak RM900.00 ( Sembilan Ratus Ringgit )

Pada mulanya saya rasa amat gembira dengan berita tersebut. Tetapi setelah berbual dengan beberapa orang guru besar dan guru, terfikir pula saya tentang apa yang telah diperkatakan oleh mereka. Apa yang diluahkan oleh mereka ini perlu difikirkan dan dikaji. Antara perkara yang diluahkan adalah:-

1. Insentif yang diberi kepada Guru Besar adalah terlalu besar jika dibandingkan dengan yang diberi kepada guru-guru. Bayangkan jarak perbezaan di antara RM7,500.00 dengan RM900.00. Memang tidak dinafikan bahawa Guru Besar adalah perancang dan pengurus program, tetapi segala apa yang dirancang tidak akan membuahkan hasil jika tenaga kerjanya tidak komited dan bertanggungjawab. Maka bayaran yang begitu jauh bezanya adalah tidak wajar. Adalah lebih wajar jika guru besar diberi RM1,500.00.

2. Bayaran RM7,500.00 sepatutnya diberikan kepada sekolah. Wang tersebut bolehlah digunakan oleh pihak sekolah untuk memajukan lagi kemudahan dan prasarana yang ada di sekolah. Menambahkan buku-buku di perpustakaan, menambah perisian komputer dan ABM di pusat sumber pendidikan sekolah atau lain-lain kemudahan P&P.

3. Akan wujud satu bentuk rebutan atau pertandingan dikalangan Guru Besar hanya kerana untuk mendapat ganjaran yang begitu besar. Tekanan kerja dikalangan guru akan bertambah. Tekanan ini akan membuat guru-guru membuat apa saja untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh guru besar. Pada masa yang sama, para pelajar juga akan tertekan dengan matlamat yang hendak dicapai. Ini akan mewujudkan satu suasana yang tidak tenteram di sekolah. Masing-masing hadir ke sekolah dalam keadaan tertekan.

4. Sekolah yang hendak dikategorikan sebagai sekolah cemerlang atau sekolah berjaya perlu dilihat dari segi semua aspek yang memenuhi kehendak dan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Tetapi apa yang diambil kira untuk melayakkan sesebuah sekolah itu mendapat ganjaran tersebut ialah lonjakan dalam keputusan peperiksaan AWAM. Pada pendapat saya sekolah yang menunjukkan kemajuan dalam kurikulum secara konsisten setiap tahun serta mempunyai satu budaya cemerlang dalam semua aktiviti adalah lebih layak.

Walau bagaimanapun sekali lagi tahniah kepada KPM di atas usahanya. Saya harap bayaran Insentif ini tidak akan mewujudkan satu budaya kerja yang tidak sihat kerana matlamat sebenar usaha seseorang guru besar dan guru-guru bukan lagi pendidikan yang lengkap dan sempurna tetapi bermatlamatkan RM.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Guru Pembantu atau Pembantu Guru?

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru