Persekitaran Pembelajaran

Sebagai seorang guru, anda perlu mewujudkan persekitaran yang sesuai dan menarik di dalam bilik darjah anda untuk mendapat kesan yang terbaik dari pengajaran yang dijalankan. Anda mempunyai satu tahap kawalan ke atas semua perkara yang ada kaitan dengan persekitaran itu. Perkara-perkara yang boleh anda kawal adalah penglihatan, bunyi, suhu bilik dan perasaan.

Penglihatan/Pemandangan:
Persekitaran penglihatan yang hendak diwujudkan perlu berpaksikan kepada perkara-perkara berikut:
  1. Ia perlu cantik dan menarik. Bahan-bahan yang digunakan mestilah bersih, berwarna warni dan sedap mata memandangnya. Bahan-bahan ini boleh lah dibina sendiri, dibeli dari pembekal ataupun diambil dari alat-alat bantu mengajar.
  2. Ia perlu berfungsi. Bahan-bahan tersebut perlulah berfungsi sebagai bahan-bahan rujukan, panduan, serta mampu mengkuhkan konsep yang diajar.
  3. Ia perlu merangsang. Bahan-bahan yang digunakan juga perlu merangsang pemikiran dan menimbulkan berbagai persoalanan dan pertanyaan dalam minda pelajar. Ia perlu dapat merangsang pelajar untuk mencari maklumat lanjut mengenai persoalanan dan pertanyaan yang telah dicetuskan.
  4. Ia perlu bermotivasi. Bahan-bahan juga perlu ada dalam bentuk peningkatan nilai-nilai moral dan tingkah laku dengan bermatlamat untuk membina kesedaran dan memberi harapan serta galakan.
  5. Ia perlu membina kebanggaan dan harga diri. Bahan-bahan ini adalah berbentuk hasil kerja pelajar, poster-poster pendidikan dan sijil-sijil pencapaian dan kejayaan pelajar.
Bunyi:
Banyak penyelidikan telah dilaksanakan untuk menyokong pendapat bahawa ketenangan persekitaran merupakan satu bahan yang penting dalam menyokong and memacu pembelajaran. Adalah didapati bahawa alunan muzik sentimental karya Mozart dan Bach adalah menyamankan minda. Malah ia juga telah dapat meningkatkan gred pencapaian pelajar. Alunan muzik yang lembut elok diperdengarkan sebelum pengajaran bermula secara rasmi. Ia boleh dialunkan semasa pelajar sedang memasuki bilik darjah, semasa kedatangan sedang diambil serta semasa pelajar sedang menjalankan aktiviti dalam bilik darjah. Ia akan dapat membina suasana yang nyaman dan kendur di dalam bilik darjah.

Suhu :
Suhu yang sesuai di dalam bilik darjah amat penting sekali. Keadaan suhu bilik darjah yang panas akan mewujudkan suasana yang tidak selesa dan rasa mengantuk. Anda perlu memastikan agar peredaran udara di dalam bilik darjah adalah baik agar ia dapat menimbulkan rasa segar dan nyaman. Ini akan menjadikan para pelajar lebih selesa dan waspada. Kajian telah menunjukkan bahawa suhu bilik yang selesa adalah pada sekitar 70 darjah F. Bilik yang mempunyai peredaran udara yang baik adalah amat menyegarkan. Pastikan semua tingkap dan pintu sentiasa terbuka luas untuk memudahkan peredaran udara berlaku.

Perasaan :
Mewujudkan satu suasana yang sesuai kepada daya penumpuan, pembelajaran dan pengajaran bukanlah sekadar mempunyai sebuah bilik yang cantik, menarik, merangsangkan serta nyaman.
Ia perlu membina dan mewujudkan sebuah persekitaran yang memberi keselesaan dan ketenangan. Ia bukan sahaja sebuah persekitaran yang bersih dan teratur, malah sebuah persikitaran di mana terdapat suasana saling hormat menghormati dan penuh rasa persaudaraan. Ia sepatutnya merupakan satu pesekitaran yang tiada suasana terancam serta satu tempat di mana semua pelajar dapat maju dan melakukan yang terbaik dalam pelajaran.

Suasana persekitaran bilik darjah bukan sahaja mempengaruhi pembelajaran para pelajar, malah ia juga mempunyai kesan terhadap pengajaran guru. Suasana yang tidak sesuai akan menjadikan seorang guru itu amat membosankan dan tidak ceria. Untuk itu berusahlah ke arah mewujudkan sebuah bilik darjah yang ceria dan sesuai untuk membina dan membangun pembelajaran pelajar-pelajar anda.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Guru Pembantu atau Pembantu Guru?

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru