Masa dan Kerja

Masa merupakan aset yang tidak kekal. Ia datang dan pergi secara berterusan. Terpulanglah kepada kita untuk mengurusnya secara berkesan untuk mendapat munafaat yang penuh. Sebenarnya sepanjang 24 jam sehari kita telah banyak menghabiskan masa dengan tidak mendatangkan sebarang hasil dan faedah kepada diri kita, keluarga dan masyarakat. Aktiviti harian seperti tidur, mengurusdiri, bekerja dan beriadah akan mengguna sebahagian dari 24 jam itu secara tetap. Secara puratanya masa tersebut adalah sebanyak 20 jam sehari. Ini bermakna kita masih mempunyai lebihan masa sebanyak 4 jam. Apa yang berlaku adalah masa lebihan tersebut telah berlalu begitu sahaja tanpa menghasilkan sebarang faedah.
  • Tidur - 8 jam
  • Bekerja - 8 jam
  • Mengurus diri ( mandi, makan, berhias dsb.) - 2 jam
  • Beriadah ( jogging, bersukan dsb ) - 2 jam
Pada kebiasaannya waktu bekerja adalah selama 8 jam sehari. Waktu bekerja secara tepat adalah selama 7 jam setelah ditolak waktu rehat selama 1 jam. Masa kerja ini pula banyak terbuang akibat dari gangguan-gangguan tertentu. Sebagai seorang guru, setiap minit yang ada adalah berharga. Gunakan lah ruang-ruang yang ada untuk menyelesaikan tugas-tugas hakiki kita. Waktu mengajar perlu digunakan sepenuhnya. Perancangan rapi perlu dibuat sebelum memulakan sesuatu pengajaran. Kerap berlaku di mana seorang guru itu masuk ke kelas untuk memulakan pengajaran tanpa sebarang persediaan hinggakan apabila berada di dalam kelas, guru akan bertanya " Semalam kita belajar apa?" , "Kita berhenti di mana semalam?", akhirnya guru akan meminta murid membuka buku untuk menjalankan aktiviti kerja bertulis. "Buka muka surat 45 dan jawab soalan-soalan 1 hingga 10 Latihan 4". Murid membuka buku dan membuat kerja yang diberi. Guru? Buat apa? Entahlah, Biasanya sama ada duduk di kerusinya menanda buku atau "Ketua darjah, jaga kelas ya, Saya nak ke pejabat/keluar sebentar".

Apabila seseorang itu menceburi bidang pendidikan, maka beliau telah bersetuju untuk menjalankan tugas-tugas seorang pendidik. Tugas-tugas seorang pendidik itu tidak terhad hanya di sekolah dari jam 7.30 pagi hingga 1.30 petang. Malah ianya melampaui waktu-waktu diluar sesi persekolahan. Senario di atas adalah contoh di mana kita terpaksa memperuntukkan masa khusus untuk menyedia dan merancang pengajaran yang akan dilaksanakan di sekolah pada keesokan harinya. Jadi setiap saat yang ada di sekolah perlu digunakan sepenuhnya untuk kerja-kerja itu. Memilih topik dan kemahiran yang akan diajar. Menyediakan pelan pengajaran, ABM dan APD serta kertas lembaran kerja. Setelah kerja-kerja perancangan selesai dilaksanakan dengan kemas dan teratur barulah kerja-kerja menanda buku/lembaran kerja dilakukan. Penandaan hendaklah dibuat secara teliti dan kelemahan yang terdapat pada seseorang murid itu dicatat dan dibuat tindakan susualan untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang dikesan. Jika semua kerja-kerja itu tadi telah selesai maka berpakatlah sesama rakan setugas untuk berbincang mengenai masalah pengajaran dan pembelajaran yang dihadapi. Adalah diharapkan melalui perbincangan banyak dapatan yang akan diperolehi demi kemajuan pendidikan di sekolah itu. Alasan bahawa banyak kerja-kerja pentadbiran (paper work) yang perlu dilakukan tidak dapat diterima. Mengikut kebiasaan, hanya beberapa orang guru tertentu yang akan dibebankan dengan berbagai tugas lain diluar ruang lingkup P&P. Jadi membuat satu kenyataan bahawa beban tugas semua guru terlalu banyak sehinggakan waktu P&P telah terabai adalah keterlaluan.

Cuba kita ambil sehelai kertas kajang kosong, tuliskan setiap aktiviti yang kita lakukan sepanjang sehari dari mula kita celik mata bangun dari tidur sehinggalah kita pejam mata untuk tidur semula dalam sehari. Catatkan masa yang telah digunakan bagi setiap aktiviti berkenaan. Jumlahkan waktu yang telah digunakan. Lakukannya secra jujur dan ikhlas demi untuk menjadi insan yang berhemah dan baik. Anda akan dapati bahawa banyak masa telah dibazirkan sepanjang hari itu. Bayangkan jika masa yang telah terbuang itu dimunafaatkan untuk kerja-kerja yang mendatangkan hasil dan faedah. Cubalah. Jangan tidak. Mudah-mudahan akan menimbulkan kesedaran dan keinsafan. Cuba lah. Jangan tidak jika anda benar-benar ingin menjadi seorang pendidik yang sebenar-benarnya berjiwa untuk mendidik. Jika anda tak mampu melaksakannya adalah lebih baik anda tukar kerjaya anda sebelum lebih ramai anak-anak kecil dirosakkan dan dibinasakan oleh sikap anda itu.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Guru Pembantu atau Pembantu Guru?

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru