Teknik Penilaian Dalam Bilik Darjah
- Ianya:-
- Berpusat kepada pelajar. Berfokus kepada pemerhatian dan kemajuan pengajaran. Maklumat yang diperolehi adalah untuk membantu guru dan pelajar membuat pengubahsuaian bagi memperbaiki pembelajaran.
- Diarah oleh guru. Guru menentukan; Apa yang perlu dinilai, Bagaimana penilaian akan dijalankan dan Bagaimana untuk bertindak balas ke atas maklumat yang diperolehi melalui penilaian yang telah dijalankan. Maklumat yang diperolehi tidak perlu dikongsi dengan guru lain kerana ianya adalah untuk keperluan guru berkenaan sahaja.
- Berkepentingan bersama. Ia memerlukan penglibatan pelajar secara aktif. Penglibatan secara aktif ini akan membantu pelajar memperkukuhkan pemahaman konsep yang diajar dan kemahiran penilaian kendiri. Fokus pengajaran guru akan dapat diperkukuhkan apabila guru dapat menentukan kemahiran dan pengetahuan yang hendak diajar dengan jelas, dapat mengenalpasti sama ada pelajar telah dapat menguasai apa yang diajar dan dapat menentukan langkah-langkah yang perlu diambil untuk membantu pelajar belajar dengan lebih berkesan.
- Berbentuk Formatif. Penilaian dalam bilik darjah bukanlah untuk menentukan tahap pencapaian atau gred yang diperolehi pelajar. Penggredan adalah dilarang sama sekali. Tujuan utama penilaian ini adalah untuk memajukan pembelajaran pelajar.
- Pengkhususan dalam konteks. Penilaian ini perlu ada kaitan dengan keperluan dan ciri-ciri guru, pelajar serta mata pelajaran yang berkaitan. Keberkesanan penilaian ini bagi sesuatu kelas tidak semestinya sesuai untuk kelas lain kerana ia berciri khas dan khusus bagi sesuatu kumpulan pelajar.
- Proses penilaian ini dijalankan secara berterusan. Ia bolehlah dianggap sebagai satu instrumen untuk membina dan mengurus lingkaran maklumat sesuatu kelas. Teknik penilaian yang akan digunapakai hendaklah mudah dan dapat dilaksanakan secara cepat. Maklumat yang diperolehi perlu dikongsi bersama dengan pelajar. Cadangan atau pandangan pelajar perlu dikaji dan digunapakai jika ianya bersesuaian untuk mempertingkatkan pembelajaran pelajar.
- Amalan pengajaran yang baik dan berkesan. Ia digunakan untuk membina amalan yang baik agar pembelajaran akan berlaku secara lebih sistematik, lebih berkesan dan lebih mudah diubahpakai. Guru perlu mengemukakan soalan, bertindak balas terhadap soalan yang dikemukakan oleh pelajar, memerhati gerak geri dan memek muka pelajar, menilai kerja rumah dan kertas ujian pelajar. Penilaian sebegini akan mewujudkan kesepaduan dalam menjalankan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas secara bersistem dan tidak nyata.
Guru-guru kerap bergantung kepada tanggapan mereka tentang pembelajaran pelajar mereka dengan membuat keputusan penting berdasarkan tanggapan itu. Guru-guru jarang melihat dan menyemak maklumat dan dapatan mereka dengan kemampuan yang ada pada pelajar. Tanggapan dan andaian kerap dibuat tanpa sebarang kajian dan semakan. Kerapakali maklumat yang dikumpulkan melalui penilaian ini adalah terlalu lewat didapati. Ini tidak akan membantu pelajar dalam proses pengubahsuaian dan penambahbaikan pembelajaran mereka agar ianya lebih berkesan. Maklumat dan dapatan perlu diberikan seawal mungkin sebelum menamatkan sesuatu topik yang diajar atau sebelum sesuatu ujian/peperiksaan dijalankan.
Comments