Sebelum, Semasa dan Sesudah
Keberkesanan dan kejayaan sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran bergantung kepada apakah yang dilakukan Sebelum, Semasa dan Sesudah P&P. Saya akan mengutarakan beberapa aktiviti yang berkaitan.
SEBELUM:
- Kenalilah murid-murid anda secara mendalam. Apakah tahap pencapaian dan pengetahuan sedia ada setiap murid. Data-data berikut amat penting untuk menentukan proses pengajaran yang sesuai dan berkesan dalam P&P kelompok murid berkenaan. Data-data berikut boleh didapati dari temubual dengan ibu bapa, rekod Prasekolah serta ujian pengesanan yang dijalankan oleh guru di peringkat awal persekolahan ( minggu pertama ). Murid-murid yang telah disaring mengikut tahap pencapaian dan pengetahuan sedia ada hendaklah diasingkan mengikut kumpulan pencapaian masing-masing. Kelompok ini perlu dilaksanakan bagi setiap mata pelajaran. Kelompok bagi sesuatu mata pelajaran tidak akan sama dengan kelompok mata pelajaran lain. Setiap murid perlu mempunyai rekod profil perkembangan pembelajaran setiap mata pelajaran. Semua hasil penilaian, ujian dan peperiksaan hendaklah disimpan di dalam profil tersebut.
- Rancangan pengajaran perlu disediakan mengikut keperluan murid-murid yang telah dikelompokkan mengikut tahap pencapaian di atas.Topik-topik yang hendak diajar perlu dipilih mengikut prinsip ansur maju, iaitu dari mudah ke sukar. Topik-topik yang telah dibekalkan melalui Huraian Sukatan Pelajaran perlu disesuaikan dengan kelas yang diajar. Yang penting di sini ialah kemahiran yang hendak diajar. Cara ianya disampaiakan kepada murid-murid hendaklah bersesuaian dengan kelompok murid itu. Aktiviti-aktiviti yang hendak dijalankan perlu dibahagi kepada aktiviti umum atau pengenalan, aktiviti pengukuhan, aktiviti pemulihan dan aktiviti pengkayaan. Bahan-bahan Bantu Mengajar hendaklah disediakan bagi meransang dan menarik minat murid-murid kepada kemahiran yang akan diajar. Adalah diingatkan bahawa semua aktiviti yang akan dijalankan hendaklah berpusatkan murid. Murid-murid terlibat secara aktif di dalam semua aktiviti yang dijalankan. Di sini amat penting sekali bahan yang hendak digunakan itu bersesuaian dengan tahap kemampuan murid-murid. Adalah disyorkan agar semua bahan yang disediakan itu mampu merangsang murid dari semua peringkat. Ini akan membuat setiap murid di dalam sesebuah kelas itu tidak berasa sukar untuk membuat aktiviti yang telah disediakan. Aktiviti latihan dan pengesanan juga perlu disediakan mengikut tahap yang telah ditentukan.
SEMASA:
- Pengajaran hanya boleh dimulakan apabila semua murid di dalam kelas itu telah bersedia untuk memulakan aktiviti P&P. Guru perlu memastikan bahawa semua murid telah bersedia sebelum memulakan sesi P&P. Untuk memastikan murid telah bersedia adalah elok dijalankan aktiviti rangsangan seperti kuiz cepat, tayangan slide, siaran audio dan sebagainya yang berkaitan dengan kemahiran yang akan diajar. Pengalaman dan pengetahuan sedia ada mengenai kemahiran yang akan diajar pada murid-murid perlu dikesan. Kepelbagaian cara, kemahiran diajar kepada murid perlu dilaksanakan agar setiap murid dapat menguasai kemahiran tersebut secukupnya. Penggunaan APD dan BBM banyak membantu pemahaman dan penghayatan murid-murid. Ianya perlu diguna secara optimum sepanjang sesi P&P. Semasa P&P dijalankan guru perlu membuat pengesanan ke atas murid-murid untuk mengenalpasti dua kategori murid, iaitu yang cerdas dan yang lemah. Kedua-dua kelompok murid ini, guru perlu menyediakan aktiviti sokongan agar mereka tidak berasa bosan kerana apa yang diberi adalah terlalu mudah bagi yang cerdas ataupun terlalu sukar bagi yang lemah. Galakkan dan beri peluang kepada murid-murid untuk memberi pandangan, pendapat dan komen. Libatkan diri mereka secara aktif dan positif di dalam sesi P&P yang sedang dijalankan. Rangsangkan mereka untuk berinteraksi dengan aktiviti "cari dan kesan" di mana mereka akan mencari maklumat yang penting berkaitan dengan kemahiran yang sedang dipelajari melalui pembacaan ataupun melayari internet. Hasil daripada aktiviti tersebut perlu dibentangkan oleh murid-murid kepada rakan-rakan di dalam kelas. Aktiviti ini hendaklah dijalankan secara berkumpulan. Pembentangan bolehlah dibuat melalui carta, lukisan, coretan, catatan ataupun paparan komputer. Harus diingat bahawa murid-murid yang dikelompokan di dalam sesuatu kumpulan itu adalah mereka yang terdiri daripada golongan yang sama tahap pencapaiannya. Ini adalah untuk mengelak daripada murid-murid yang lemah diabaikan oleh rakan-rakan lain.
SELEPAS:
- Jalankan aktiviti pengesanan seperti ujian pengesanan, latihan bertulis, soal jawab lisan dan kuiz untuk mengesan sejauh manakah P&P yang telah dijalankan tadi berjaya dan berkesan. Berapa ramaikah murid yang telah menguasai kemahiran yang diajar mengikut peratusan (<>20% Sangat Lemah). Guru perlu membuat analisis item untuk mengesan kemairan manakah yang masih belum dikuasai ramai muridnya. Melalui analisis ini guru boleh menyediakan rancangan P&P susulan bagi sesi berikutnya. Aktiviti pengukuhan, pemulihan dan pengkayaan perlu disediakan mengikut tahap penguasaan di atas. Pencapaian dan tahap penguasaan setiap murid dicatat di dalam profil masing-masing. Daftar markah, daftar kemahiran yang belum dikuasai serta graf kemajuan pembelajaran hendaklah direkodkan di dalam profil tersebut. Hasil daripada analisis ini, guru akan dapat menyediakan aktiviti P&P begi kelas berikutnya. Jika perlu murid-murid hendaklah digerakkan serta di pindahkan ke kelompok yang bersesuaian dengan status penguasaan dan pencapaian mereka. Ini bermakna, murid itu akan bergerak mengikut kelompok yang berlainan setiap masa, kecuali ia dapat mengekalkan tahap penguasaan dan pencapaiannya. Ini amat penting kerana ia memudahkan murid tersebut untuk menguasai kemahiran yang diajar serta memudahkan guru untuk menentukan jenis aktiviti dan latihan untuk setiap murid itu bersesuaian dan mendatangkan kesan yang positif serta kejayaan. Perbincangan bersama murid dan ibu bapa murid hendaklah diadakan terutama sekali untuk kelompok yang lemah. Murid perlu tahu apakah kelemahan yang sedang dihadapinya dalam proses pembelajaran yang sedang diikutinya. Kerjasama dan bantuan ibu bapa amat penting dalam usaha untuk mendidik murid-murid berkenaan. Mereka yang lemah ini tidak seharusnya dibiarkan sendirian tanpa bimbingan dan sokongan. Bimbingan perlu diberi secara berterusan sehingga murid dapat menguasai kemahiran berkenaan.
NB: Perkembangan pencapaian setiap murid perlu direkodkan dan di bawa bersama murid berkenaan sepanjang sesi persekolahannya di sekolah rendah dan menengah. Jika apa yang telah diutarakan di atas merupakan satu beban kepada anda, maka anda telah tersalah pilih kerjaya. Apa yang dipaparkan adalah TUGAS HAKIKI guru. Guru perlu bijak merancang dan mengurus masanya dengan cekap dan berkesan untuk melaksanakan apa yang telah dibincang di atas.
Comments