Keperluan Dalam Melaksanakan Tugas - Bhg 1
Langkah-langkah ke arah mencapai keberkesanan dan kejayaan dalam melaksanakan sebarang tugas dan tanggungjawab adalah amat penting. Kita perlu ada perancangan dan tindakan yang berfokus serta nyata. Andaian dan anggapan tidak akan menjanjikan hasil yang memuaskan. Faktor-faktor yang mempengaruhi cara kita menjalankan tugas dan tanggungjawab bergantung kepada :- Kajian Kemungkinan, Mengenalpasti Kedudukan Kita, Nilai Diri, Aset Diri, Pengalaman Diri, Menghayati Objektif, Penggunaan Sumber, Kekuatan Pemikiran, Mengurus Rangkaian Kerja, Mengatasi Konflik, Melemahkan Lawan, Mengurangkan Risiko, Memuktamatkan Perancangan, Menyatakan Harapan, Merealisasikan Impian, Memaksimakan Hasil dan Menyebarkan Kejayaan.
1. Kajian Kemungkinan - kita perlu melihat dan mengkaji segala kemungkinan yang akan kita hadapi sebelum, semasa dan selepas kita melaksanakan tugas dan tanggunjawab kita itu. Kajian ini akan memberi kita data dan maklumat yang kita perlu untuk merancang dan melaksanakan sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Persediaan kita akan mengatasi sebarang gejala negatif yang akan berlaku. Kita juga dapat melaksanakan aktiviti dan tindakan yang lebih menguntungkan jika ianya berbentuk positif. Kita perlu jadikan segala gejala sama ada positif ataupun negatif sebagai ransangan untuk bertindak dengan lebih berkesan dan menguntungkan. Jika kita melihat segala kemungkinan itu sebagai penghalang, maka kita telah kalah dan gagal sebelum tugas dan tanggungjawab itu dilaksanakan.
2. Mengenalpasti Kedudukan Anda - Sebelum mengambil sebarang tindakan, kita terlebih dahulu perlu mengenalpasti kedudukan kita di dalam sesuatu aktiviti atau urusan. Di manakah kedudukan kita ketika itu. Adakah kita dalam keadaan kukuh dari segi kemampuan kewangan, bersedia dari segi fizikal, mental dan spiritual serta mempunyai kuasa dan hak. Perancangan dan tindakan kita bergantung kepada semua faktor di atas.
3. Nilai Diri - Nilai diri merupakan satu faktor yang penting. Adakah kita mempunyai nilai diri yang tinggi dan kuat untuk melaksanakan sesuatu tugas dan tanggungjawab yang akan diberikan kepada kita. Jika kita tidak mempunyai nilai diri yang tinggi dan kuat, kita perlulah mengatur tindakan yang akan kita ambil untuk memperkukuhkan nilai-nilai tersebut. Jika tidak kita tidak akan mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberi secara berkesan dan cemerlang.
4. Aset Diri - Asset diri seperti rajin, kreatif, mudah berbicara serta mudah didekati merupakan satu kekuatan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberi dengan berkesan dan cemerlang. Kita perlu menyenaraikan semua aset diri kita untuk mengatahui sama ada kita bersedia untuk memikul tugas dan tanggungjawab yang akan diberi. Kekurangan aset yang positif akan melemahkan perlaksanaan dan tindakan kita semasa menjalankan tugas dan tanggungjawab kita.
5. Pengalaman Diri - Pengalaman yang ada pada diri kita dari segi pengurusan, pentadbiran serta penyeliaan amat berguna pada kita semasa menjalankan tugas dan tanggungjawab. Pengalaman-pengalaman itu akan menjadi pemangkin dan sokongan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Lagi banyak pengalaman yang ada dalam berbagai bidang akan menjadi sesuatu yang amat menguntungkan. Keyakinan diri untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab akan menjadi tinggi dan kuat.
6. Menghayati Objektif - Objektif yang telah ditetapkan untuk mencapai matlamat perlu dihayati secara mendalam. Kita perlu memahami segala kehendak dan keperluan objektif itu. Kerapkali berlaku kekeliruan dalam mentafsir objektif yang telah ditetapkan. Kekeliruan ini akan menyebabkan kegagalan serta kelemahan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Apa yang sebenarnya yang hendak dicapai tidak dicapai, malah apa yang telah dicapai dirasai seperti itulah yang sebenarnya yang hendak dicapai. Kelemahan dan kekeliruan ini perlu diatasi secara bersungguh-sungguh.
Comments