Tugas dan tanggungjawab
Kerapkali kita baca rintihan para guru tentang tugas yang perlu dilaksanakan di sekolah. Mereka menekankan bahawa tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka adalah tidak berkaitan dengan tugas hakiki iaitu mengajar. Saya ingin tekankan di sini bahawa tugas guru adalah mendidik. Ada perbezaan di antara mengajar dan mendidik. Sebagai seorang pendidik kita dikehendaki mendidik anak-anak didik kita di dalam semua aspek yang berkaitan dengan pembentukan seorang insan yang sempurna. Apakah tugas -tugas yang dikatakan tidak berkaitan dengan tugas hakiki itu?
Sekolah sentiasa dikehendaki melaksanakan tugas-tugas yang berkaitan dengan pentadbiran. Pihak Kementerian Pelajaran kerapkali memerlukan maklumat dan data yang berkaitan dengan keperluan pengurusan sektor masing-masing. Bahagian Sekolah dengan data guru dan muridnya, Bahagian Buku Teks dengan data pendapatan ibu bapa. Malahan semua bahagian ada keperluan masing-masing. Sepatutnya keperluan data-data berkenaan boleh diperolehi daripada pengkalan data yang telah dibina oleh pihak kementerian melalui Unit Perencangan dan Pembangunan. Sebagai contoh kita telah mempunyai data EMIS yang mempunyai maklumat lengkap mengenai guru di seluruh negara. Jadi, apabila Bahagian Sumber Manusia memerlukan data mengenai opsyen guru maka ia hanya perlu mendapatkannya daripada EMIS. Malahan data EMIS itu memberi maklumat terperinci sehingga keperingkat sekolah. Bahagian Pembangunan pula juga boleh mendapatkan maklumat mengenai keperluan perabot, tambahan bangunan, bekalan alat-alat bantu mengajar dari EMIS. Adalah tidak munasabah data-data ini diminta dari Jabatan Pelajaran Negeri yang kemudiannya akan meminta dari Pejabat Pelajaran Daerah seterusnya turun ke sekolah. Apalah gunanya pengakalan data EMIS itu disediakan jika masih meminta data-data berkenaan dari sekolah. Unit Hal Ehwal Murid juga telah membina pengkalan datanya yang berkaitan dengan maklumat murid secara lengkap. Semua maklumat berkaitan dengan pendapatan keluarga dan tanggungan juga telah dikemaskinikan. Semua data yang diperlukan telah pun dikemaskinikan secara berkala oleh pihak sekolah mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh pihak kementerian. Pihak tertentu di PPD, JPN dan juga KPM hanya perlu akses pengkalan-pengkalan data berkenaan untuk mendapatkan segala maklumat yang diperlukan. Tidak perlu dibebani pihak sekolah dengan perkara-perkara yang boleh diselesaikan diperingkat PPD ataupun Jabatan.
Sesetengah guru mengaggapkan tugas-tugas yang berkaitan dengan aktiviti sekolah bukanlah tanggungjawab mereka. Siapakah yang akan menjalankan tugas-tugas persiapan untuk majlis-majlis seperti Hari Ucapan dan Anugerah Kecemerlangan, Mesyuarat Agung PIBG, Sukan Sekolah. Tak kan kita nak lantik seorang pegawai khas untuk mengurus majlis-majlis tersebut yang hanya dijalankan sekali setahun. Mampukah seorang pegawai khas menganjurkan majlis-majlis tersebut secara bersendirian. Sebagai contoh, Aktiviti Perkhemahan Tahunan Badan Beruniform, banyak persiapan yang perlu dilakukan untuk menjayakan majlis tersebut. Adalah tidak munasabah bagi seorang pegawai untuk melaksanakan tugas-tugas itu secara bersendirian. Sudah tentu ia memerlukan beberapa orang lain yang akan membantunya. Orang-orang yang akan membantunya sudah tentunya para guru. Kebanyakan sekolah, apabila hendak menjalankan Majlis Mesyuarat Agung PIBG jarang sekali melibatkan ibu bapa secara berkesan. Hanya Jawatankuasa PIBG sahaja yang dilibatkan. Mengapa tidak dilibatkan lebih ramai ibu bapa dalam Jawatankuasa Kecil Sambutan. Penglibatan ibu bapa secara beramai-ramai akan menguatkan lagi ikatan dan hubungan silatulrahim di antara guru dan ibu bapa.
Jika benar sebagaimana yang dibaca di dalam akhbar bahawa guru-guru tidak dapat menjalankan tugas mengajar dengan lebih berkesan kerana dibebani oleh tugas-tugas tambahan berikut, apakata Kementerian Pelajaran membuat projek rintis di beberapa buah sekolah di mana guru-guru di sekolah-sekolah hanya menjalankan tugas mengajar semata-mata. Andaikata prestasi pencapaian kurikulum sekolah-sekolah tersebut meningkat menjadi cemerlang barulah andaian para guru itu berasas. Yang peliknya ada banyak sekolah yang berjaya dan cemerlang dalam semua bidang baik dari segi kurikulum maupun ko-kurikulum. Tak perlu pun mempunyai pegawai khas untuk menjalankan tugas-tugas yang tersebut di atas. Tiada sesiapa pun sama ada pihak KPPK ( Kesatuan Guru Kebangsaan ) maupun pihak-pihak yang kononnya memperjuangkan nasib para guru dapat memberi jaminan bahawa kualiti pendidikan di negara ini akan meningkat jika guru-guru hanya menjalankan tugas mengajar secara total. Semuanya bergangtung kepada sikap para guru dalam menjalankan tugas masing-masing. Sebagai contoh, pembekalan bahan-bahan dan alatan yang bernilai berjuta ringgit untuk memastikan pengajaran mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris itu berjaya, tidak membuahkan hasil yang diharapkan. Malah ia telah menjadi isu yang amat besar sehinggakan hendak mengundur ke belakang untuk menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantarnya. Sikap para gurulah yang mengakibat kegagalan sebarang projek yang dilaksanakan oleh Kememterian. Guru sebagai pelaksana merupakan kunci kejayaan sesuatu program. Letaklah seberapa banyak guru yang perlu di sesebuah sekolah andaikata mereka tidak bertanggungjawab dan berwibawa maka masalah tidak akan dapat diselesaikan. Komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas adalah elemen yang paling penting jika ingin berjaya.
Comments