Mengurus Atau Mentadbir?

Kejayaan sesebuah sekolah bukan saja bergantung kepada tenaga kerjanya, malah tunggak pengurusan sekolah merupakan faktor pendorong kepada tenaga kerja yang akan melaksanakan segala urusan pembangunan kurikulum, ko-kurikulum dan juga hal ehwal pelajar. Saya ingin membincangkan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh para pengurus sekolah (Guru Besar/Pengetua).

Apa yang dapat dilihat masa kini adalah Guru Besar atau Pengetua sekolah kurang memainkan peranan mereka sebagai seorang pengurus, malah mereka sekadar bertindak sebagai pentadbir. Mentadbir dan mengurus adalah dua perkara yang berbeza. Sekolah sepatutnya diurus dan bukan ditadbir. Apabila seseorang Guru Besar itu mengambil keputusan dan tindakan untuk mencapai matlamat sekolahnya, maka ia dikatakan sedang mentadbir sekolahnya. Kerja-kerja untuk memastikan sekolah berjalan dengan lancar mengikut peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan adalah dianggap sebagai tugas-tugas "maintenance". Sedangkan tugas-tugas mengurus melibatkan aktiviti-aktiviti yang lebih luas. Ia melibatkan proses pengesanan masalah dan penyelesaiannya. Langkah untuk melaksanakan perubahan bagi menyelesaikan masalah yang telah dikesan dan dikenalpasti perlu didahului oleh penyusunan program dan aktiviti yang berkaitan. Kerja-kerja ini perlu dilaksanakan jika Guru Besar itu ingin melihat sekolahnya maju dan cemerlang.

Bagi memastikan agar perubahan yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan jaya dan berkesan, usaha untuk mewujudkan sebuah pasukan bertindak dikalangan guru-guru dan staf mesti diutamakan. Tanpa satu pasukan yang mantap dan dedikasi mana mungkin perubahan itu dapat dijadikan satu kenyataan. Masyarakat sekitar amnya dan ibu bapa khasnya perlu dilibatkan bersama dalam pasukan tersebut. Kemahiran dan kepintaran yang terdapat di kalangan ibu bapa perlu disalurkan ke arah pembangunan sekolah. Seorang pengurus sekolah yang hanya mengharapkan sumbangan daripada tenaga kerjanya sahaja tanpa dia sendiri memberi sumbangan ke arah pembangunan sekolah akan diketepikan oleh tenaga kerjanya. Jika kita hanya mengeluarkan arahan kepada guru-guru dan staf untuk melaksanakan sesuatu program atau aktiviti tanpa sama-sama duduk berbincang dan menyusun strategi yang perlu diambil, maka program itu akan hanya terlaksana secara "melepaskan batuk di tangga". Penilaian dan pentaksiran sesuatu program perlu dilakukan untuk mengenalpasti tahap pencapaian dan kejayaannya. Jika ianya kurang berkesan, apakah puncanya. Langkah-langkah pemulihan dan penambahbaikan perlu dilakukan. Sesuatu program itu tidak ada penghujungnya atau penamatnya. Kita kerap dapat lihat program-program yang dilaksanakan di sekolah berakhir tanpa sebarang hasil yang membanggakan. Program itu dianggap tamat dan selesai tanpa mengambilkira hasilnya. Sesuatu program yang telah dirancang dan dilaksana sepatutnya digerakkan secara berterusan.

Matlamat yang telah disasarkan perlu dicapai sepenuhnya. Andaikata ianya telah dicapai sebagaimana yang diharapkan ia perlu dikaji semula untuk memperluaskan lagi matlamatnya. Matlamat untuk mencapai peratus kelulusan perlu ditingkatkan sehingga ke tahap maksima (100%). Matlamat ini perlu dimajukan lagi kepada peratus pencapaian maksima Gred A . Untuk mencapai matlamat ini bukanlah satu tugas yang amat mudah. Ia memerlukan proses yang berterusan dan mengambil masa yang panjang. Kesinambungan program ini perlu diteruskan walaupun Guru Besarnya telah bertukar. Jika tidak , sampai bila pun matlamat yang telah dirancang bersama semua tenaga kerja sekolah akan terbengkalai. Inilah yang kerap berlaku di sekolah-sekolah. Apabila bertukarnya seorang Guru Besar maka terkuburlah segala program yang telah dan sedang dilaksanakan. Wujud pula program-program baru mengikut selera Guru Besar baru. Faktor ini merupakan punca atau sebab utama guru-guru dan staf sekolah mengamal sikap "Alah ikut aje, bukan lama pun". Sikap sebegini akan menggagalkan sesuatu program yang telah dirancang. Sebuah sekolah yang telah berjaya dan cemerlang besar kemungkinan akan menunjuk kemerosotan andaikata pengurus baru yang ditukarkan ke situ tidak memahami peranan dan tugasnya sebagai seorang pengurus. Sebuah sekolah yang turun temurun terkenal sebagai jaguh dan juara di dalam sesebuah acara sukan kini tidak dikenali lagi. Punca kejatuhan ini? Pengurusnya yang tidak berminat di dalam sukan berkenaan.

Alasan bahawa saya mempunyai visi dan misi saya sendiri tidak boleh diterima. Semua sekolah mempunyai visi dan misi yang sama, iaitu ke arah KECEMERLANGAN. Mengganggu dan merosakkan momentum kerja guru-guru sesebuah sekolah adalah satu dosa yang tidak boleh dimaafkan. Sepatutnya semangat kerja yang kukuh dan kuat dikalangan guru-guru perlu diiktiraf, dihargai dan disokong agar ianya akan berterusan dan bertambah mantap. Jadilah seorang pengurus sekolah yang berkesan dan berjaya. Insya Allah.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Guru Pembantu atau Pembantu Guru?

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru