Matematik & Sains Dalam Bahasa Inggeris
Nampaknya isu ini telah menjadi semakin besar. Semua orang sibuk mengulas dan memberi pendapat mengenainya. Ada yang sokong program ini diteruskan, ada pula yang minta supaya balik ke asal iaitu diajar dalam bahasa ibunda dan yang terbaru ada pula yang mengesyorkan agar sekolah Aliran Bahasa Inggeris dibuka semula. Kalau tak silap saya program ini dilancarkan dengan matlamat untuk memperkukuhkan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Maka wujudlah istilah seperti PPSMI dan BISP. Berkursuslah para guru yang mengajar kedua-dua mata pelajaran tersebut. Kelang kabut sekolah dibuatnya. Ramailah guru-guru yang terpaksa meninggalkan kelas kerana nak memahirkan bahasa Inggeris. Bayangkan guru-guru yang dah begitu lama mengajar mata pelajaran berikut dalam bahasa ibunda terpaksa berkursus untuk mengajarnya dalam bahasa Inggeris. Yang dikursuskan pula adalah pengistilahan dan kemahiran bahasa.
Bila guru-guru berikut balik ke sekolah untuk mula mengajar, ada yang rasa gementar dan tidak yakin terutama sekali mereka yang mengajar di sekolah-sekolah di dalam bandar. Maklumlah kebanyakan pelajarnya datang dari keluarga yang berbahasa Inggeris. Sudah tentulah pelajar nampaknya lebih fasih berbahasa daripada guru. Maka wujudlah satu trend dan gaya mengajar yang membosankan. Ada guru yang pasang Notebook dan LCD dan terus klik tetikus sahaja dan menyuruh pelajar-pelajarnya melihat dan mendengar apa yang dipapar di skrin. Ada pula yang degil tu terus menggunakan bahasa ibunda tanpa menghiraukan arahan dan polisi yang telah ditetapkan. Cukup bulan dapat elaun 10% atau 5% daripada gaji. Banyak tu, hanya dengan mengajar mata pelajaran tersebut dapat habuan yang lumayan. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah para pelajar. Nasib baik soalan peperiksaan adalah dalam dwi bahasa. Andaikata soalannya adalah 100% dalam Bahasa Inggeris, apa agaknya keputusan peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut. Amat menggerunkan.
Kejayaan program ini adalah menjadi tanggungjawab semua pihak. Pentadbir sekolah, iaitu Guru Besar dan Guru Penolong Kanan perlu memainkan peranan yang lebih serius dan berkesan dalam memastikan kejayaan program ini. Malah rata-rata kita dapat lihat pemantauan secara bersungguh-sungguh tidak dapat dilaksanakan. Ini adalah kerana GB dan GPK1 juga telah dibeban dengan berbagai program lain yang semuanya adalah penting. Semuanya adalah "Top Priority". Akhirnya semuanya terbengkalai begitu sahaja. Kata orang kampung "Tak cukup tangan" nak uruskannya. BISP pulak satu hal. Sepatutnya duit itu diguna oleh guru-guru berkenaan untuk memajukan bahasa Inggeris melalui menghadiri kelas bahasa Inggeris di pusat-pusat bahasa yang ada di bandar, membeli bahan-bahan yang boleh membantunya mempertingkatkan kemahiran bahasa. Timbul pula isu BISP disalahgunakan. Rasanya akan wujud pula cadangan untuk meminta guru membuktikan yang BISP itu digunakan dengan betul.
Kesimpulannya, rata-rata kita dapati bahawa guru-guru ramai yang tidak bersungguh-sungguh dan berminat untuk mengajar mata pelajaran tersebut dalam bahasa Inggeris. Apa susahnya, soalankan ada dalam bahasa Melayu. Jawab aje dalam bahasa Melayu. Keputusan peperiksaan yang menunjukkan kejayaan dalam mata pelajaran ini tidak boleh digunapakai sebagai bukti bahawa program ini berjaya selagi soalan peperiksaan tidak diadakan 100% dalam bahasa Inggeris. Ada pula ura-ura yang mengatakan ianya nak dikembalikan kepada asal. Sekali lagi para pelajar lah yang menjadi mangsa. Teringat saya, di mana seorang guru Kelas Pemulihan bertanya kepada saya. "Cikgu, macam mana saya nak buat pemulihan bagi Matematik? Kalau dulu dalam Bahasa Melayu. Ni dah dalam Bahasa Inggeris. Manalah saya tahu". Dah timbul lagi satu masalah. Pelajar-pelajar yang lemah tidak dapat dibantu oleh Guru Pemulihan. Sama-samalah kita fikrkan bagaimanakah kita nak jayakan apa yang telah dilaksanakan. Kesian anak-anak kita. Apa nak jadi dengan mereka. Sampai bila kita nak begini. Ubah dan bila tak berjaya ubah balik asal. Ini bukan keluaran kilang yang kita uruskan. Ianya adalah manusia. Anak-anak bangsa kita. Perlu difikirkan demi kesejahteraan anak-anak kita.
Comments