Pengurusan Panitia Ke Arah Kecemerlangan

Panitia Mata Pelajaran merupakan salah satu unit di bawah kawalan Jawatankuasa Kurikulum Sekolah. Kejayaan sesebuah sekolah dalam menghasilkan pencapaian akademik yang berkesan dan cemerlang adalah menjadi tanggungjawab unit ini. Jika semua panitia mata pelajaran di sesebuah sekolah itu berfungsi secara menyeluruh dan berkesan, maka semua mata pelajaran akan mencatat prestasi yang membanggakan. Prestasi pencapaian akademik di sesebuah sekolah itu menggambarkan prestasi Jawatankuasa Kurikulum Sekolah dan Panitia Mata Pelajaran. Apabila sesebuah sekolah itu gagal untuk menunjukkan pencapaian akademik yang boleh dibanggakan, kegagalan itu akan dikaitkan dengan pengurusan panitia mata pelajaran sekolah itu.

Sepanjang pengalaman saya sebagai pengurus sekolah, saya dapati bahawa prestasi sesuatu mata pelajaran itu ada hubungkaitnya dengan keberkesanan pengurusan panitia mata pelajaran tersebut. Kebanyakan Ketua Panitia didapati tidak mempunyai pengetahuan yang cukup dalam pengurusan sesebuah panitia. Panitia mata pelajaran selalu hanya wujud pada nama sahaja. Tiada sebarang usaha yang membina dan membangun diadakan. Tidak dinafikan bahawa berbagai program pembangunan kurikulum dirancang dan disediakan oleh guru-guru, tetapi ke manakah program ini di bawa. Ianya hanya sekadar sebuah program yang dicatat dan disimpan di dalam sebuah fail. Fail-fail ini pula tidak pernah dibuka, dibaca, dilaksanakan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang sepanjang tahun. Fail ini akan hanya dibuka pada awal tahun berikutnya untuk dimasukkan rancangan atau program yang baru. Guru-guru terus menjalankan tugas masing-masing mengikut selera dan tafsiran masing-masing. Segala program yang telah dirancangan tidak langsung dibaca, dikaji dan dilaksanakan sebagaimana yang telah dirancang.

Setiap panita sepatutnya melaksanakan langkah-langkah yang teratur dan tersusun untuk memastikan misi dan visi sekolah akan tercapai. Langkah-langkah yang perlu diambil adalah seperti berikut:
  1. memastikan semua guru di bawah kawalan panitia memahami dan menghayati misi dan visi sekolah dengan jelas dan nyata.
  2. memastikan agar data dan maklumat guru yang mengajar mata pelajaran itu adalah mereka yang mempunyai ilmu dan pengetahuan yang cukup dalam mata pelajaran tersebut. Program pembangunan staf perlu diadakan bagi membantu guru-guru yang tiada kemahiran yang diperlukan.
  3. mengadakan sebuah pengkalan data keputusan semua ujian dan penilaian setiap, pelajar, kelas dan aliran tiga atau lima tahun ke belakang bagi tujuan membuat analisa trend pencapaian mata pelajaran tersebut.
  4. mempunyai data analisis item bagi setiap kertas ujian dan penilaian yang telah dilaksanakan sepanjang tahun. Data ini digunakan untuk mengesan kelemahan pelajar dalam mata pelajaran yang diajar.
  5. berdasarkan data-data di atas langkah-langkah penambahbaikan, pemulihan dan pengukuhan dapat dirancang dan dilaksanakan.
  6. mempunyai sepasukan guru sebagai panel yang akan menjana dan membina item-item ujian dan penilaian untuk disimpan di dalam pengkalan data item. Item-item ini yang telah disediakan berdasarkan Jadual Spesifikasi Item(JSI) dan yang telah ditapis akan digunakan di dalam ujian dan penilaian sekolah.
  7. mempunyai data atau rekod pelajar-pelajar yang berpotensi cemerlang dan yang lemah. Rekod ini akan digunakan untuk merancang program pembangunan bagi kedua-dua kumpulan sasar tersebut.
  8. semua program dan aktiviti yang dilaksanakan perlu dikaji semula dan sebarang kelemahan yang terdapat diatasi dan diperbaiki.
  9. semua guru ahli panitia perlu bekerja sabagai satu pasukan. Perbincangan dan sesi sumbang saran perlu kerap diadakan bagi memperbaiki sebarang kelemahan yang ada.
  10. prinsip yang perlu dipegang ialah setiap ujian dan penilian akan menghasilkan keputusan yang meningkat peratus kelulusan dan kecemerlangan serta menunjukkan berkurangnya peratus kegagalan.

Langkah yang dinyatakan diatas perlu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dan penuh tanggungjawab bagi menghasilkan kejayaan. Kerja-kerja pengurusan panitia perlu dilakukan secara teratur dan kemas. Ia adalah satu proses kerja yang berterusan. Jangan jadikan kerja-kerja itu bermusim jika anda inginkan kejayaan. Tiada kejayaan akan dicapai tanpa kerja keras.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Guru Pembantu atau Pembantu Guru?

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru