Mengapa Pengajaran & Pembelajaran Tidak Berkesan?

Bilangan murid yang tidak dapat menguasai kemahiran-kemahiran yang diajar adalah satu faktor utama berlakunya defisit pembelajaran. Mereka ini jika dibiarkan tanpa sebarang usaha untuk mengatasinya dari peringkat awal lagi akan menjadi kegagalan terkumpul ( cumulative failure ) di akhir tahun persekolahan. Ia menjadi faktor yang akan menghantui para guru terutama sekali mereka yang mengajar di kelas-kelas peperiksaan. Akan timbul rasa tidak senang dan tertekan di kalangan guru yang mengajar di kelas-kelas berikut.

Apakah punca kegagalan ini? Adakah kerana mereka ini sudah memang dilahirkan lembam? Adalah tidak adil mereka ini dikategorikan sedemikian rupa. Pada lazimnya peratus mereka yang lemah adalah sebanyak 10% daripada jumlah keseluruhan murid dalam satu-satu tahun. Itu pun sepuluh peratus ini boleh dipulihkan dengan pengajaran yang terancang mengikut keperluan dan kesesuaian murid-murid tersebut. Di antara punca-punca yang telah dikenalpasti mengapa P&P seseorang guru itu tidak berkesan adalah:-

a. Mengguna kaedah pengajaran yang paling mudah. Guru tidak bersungguh-sungguh semasa menyediakan bahan pengajaran sebelum sesuatu pengajaran itu dijalankan. Persediaan yang dibuat hanyalah sekadar menulis, malah hanya menyalin rancangan pengajaran yang dibekalkan oleh sekolah ke dalam Buku Persediaan Mengajar. Selebih daripada itu tiada usaha untuk membuat sedikit penyelidikan, penyediaan Alat Bantu Mengajar(ABM) sama ada dalam bentuk media cetak atau media elektronik. Guru hanya masuk ke dalam kelas dengan membawa buku teks dan buku persediaan mengajar. Malah ada juga yang langsung tak bawa apa pun.

b. Menjalankan sesi pengajaran secara lisan sahaja. Guru mengajar dan murid mendengar. Guru menyoal dan murid menjawab secara beramai-ramai. Kerapkali kita dapat melihat murid yang menjawab soalan secara ramai-ramai tidak menumpu perhatian kepada pengajaran guru. Jika soalan dikemukakan secara individu, hanya murid-murid yang cerdas sahaja yang akan dipilih. Adakala soalan yang dikemukakan tidak sesuai dengan tahap kemampuan murid. Jika murid gagal memberi jawapan yang betul murid akan didenda. Kadangkala ada juga guru yang akan merendah-rendahkan murid berkenaan sehingga ia menjadi bahan ketawa rakan-rakan di dalam kelas.

c. Pengajaran dijalankan secara otoritarian. Saya ajar awak dengar. Murid tidak diberi kebebasan untuk bersoal jawab atau pun memberi pendapat. Jika banyak sangat bertanya ia akan dimarahi guru. Dituduh tak tumpu perhatian semasa guru mengajar lah, otak bengap lah dan berbagai lagi.

d. Latihan yang diberi kepada murid-murid pula tidak mengambil kira mereka yang lemah. Ilmu yang diberi semasa berada di maktab perguruan dalam penyediaan bahan ujian tidak dipraktikkan. Bahan-bahan latihan dan ujian diambil bulat-bulat dari berbagai buku latihan yang terdapat di pasaran. Tiada tapisan dan pemilihan mengikut tahap kesukaran.

e. Kertas latihan dan ujian tidak dikaji dan dibuat analisis setelah ianya ditanda. Markah hanya direkod di dalam buku persediaan mengajar tanpa dibuat analisis. Kertas latihan dan ujian yang lalu tidak digunakan sebagai panduan untuk menyediakan kertas latihan atau ujian yang baru. Kadangkala kertas latihan dan ujian yang diberi tidak ada kesinambungan lansung.

f. Kegiatan pemulihan, pengukuhan dan pengayaan tidak dijalankan langsung. Murid-murid yang tidak menguasai sesuatu kemahiran yang diajar tidak diambil peduli. Tiada usaha untuk membimbing murid-murid yang tidak menguasai kemahiran agar mereka tidak ketinggalan jauh dalam pembelajaran.

Di manakah silapnya? Adakah sistem yang silap? Mungkinkah pentadbir yang silap. Entahlah. Sama-samalah kita fikirkan. Sama-samalah kita tanya diri kita andaikata kita ni digelar GURU. Adakah aku tergulung dikalangan mereka yang bersikap seperti di atas. Harap-harap tidaklah. Saya percaya ramai guru kita adalah mereka yang dedikasi dan tekun dalam menjalankan amanah yang telah diberikan.

Comments

Anonymous said…
Hello. This post is likeable, and your blog is very interesting, congratulations :-). I will add in my blogroll =). If possible gives a last there on my blog, it is about the Teclado e Mouse, I hope you enjoy. The address is http://mouse-e-teclado.blogspot.com. A hug.

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Guru Pembantu atau Pembantu Guru?

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru