SKPM - Bahagian 10

Dimensi 3 – Pengurusan Program Pendidikan
Elemen 10 – Penilaian Pencapaian Murid

Penilaian Pencapaian Akademik
Penilaian pencapaian akademik murid dinilai melalui ujian, penilaian bertulis serta pemerhatian. Dalam melaksanakan penilaian pencapaian akademik beberapa perkara asas perlu dilaksanakan.
Soalan-soalan ujian/penilaian dibina dengan menggunakan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU). JSU dibina mengikut topik dan tajuk yang ingin diuji serta mengikut aras dan kemampuan murid.
Membina instrumen penilaian secara lisan dan pemerhatian agar ia selaras bagi setiap guru. Kemahiran dan sikap yang ingin dilihat dan diperhatikan perlu jelas dan boleh diukur.
Melaksanakan ujian dan penilaian mengikut jadual dan kaedah yang ditetapkan.
Merekodkan pencapaian murid dalam bentuk markah, gred dan nilai gred dan mengulaskan hasil pencapaian dan penguasaan pembelajaran merangkumi domain kognitif, afektif dan psikomoto.
Membuat analisis yang terperinci pencapaian semua murid untuk mengenal pasti murid yang belum menguasai kemahiran yang diajar serta konsep yang belum difahami.
Menganalisis kebolehan murid menjawab soalan yang berbagai-bagai bentuk dan struktur.
Merancang dan mengambil tindakan penambahbaikan di semua peringkat, kelas, panitia dan Jawatankuasa Kurikulum Sekolah.

Hasil daripada tindakan di atas satu bentuk laporan dan rekod perlu disediakan untuk melaporkan pencapaian murid kepada semua pihak yang berkenaan. Laporan kemajuan murid direkodkan di dalam buku rekod kemajuan murid, laporan prestasi setiap mata pelajaran diserahkan kepada Panitia, laporan prestasi keseluruhan bagi setiap kelas, mata pelajaran dan aliran diserahkan kepada Jawatankuasa Kurikulum Sekolah. Laporan-laporan ini perlu dikaji secara mendalam oleh semua pihak yang berkenaan untuk mencari jalan untuk mempertingkatkan lagi prestasi pencapaian murid di semua peringkat.

Penilaian Pencapaian Kokurikulum
Pencapaian kokurikulum murid hendaklah dinilai melalui rekod kehadiran, penglibatan di dalam semua aktiviti, sumbangan dan kejayaan yang dicapai. Semua ini perlu direkodkan di dalam Kad Gerko yang dibekalkan kepada setiap murid. Satu instrumen penilaian perlu disediakan bagi setiap aktiviti kokurikulum yang disertai murid sebagaimana instrumen yang ada pada unit-unit beruniform. Lain-lain unit seperti sukan dan permainan juga perlu menyediakan instrumen penilaian yang sesuai untuk menilai penguasaan murid dalam kemahiran yang diajar. Semua hasil penilaian ini perlu direkodkan dan diberi markah atau gred. Satu analisis kemajuan juga perlu dibuat bagi mengesan kelemahan yang ada. Langkah-langkah penambahbaikan boleh disediakan untuk mengatasi kelemahan yang ada. Akhir sekali laporan hendaklah disediakan untuk dimajukan kepada Jawatankuasa Kokurikulum Sekolah dan ibu bapa murid.

Penilaian Pencapaian Sahsiah
Pencapaian sahsiah murid boleh dinilai dengan melihat segala rekod sumbangan, penglibatan, penyertaan dan kejayaan yang dicapai. Maklumat ini boleh diperolehi dari rekod disiplin, rekod kemajuan akademik dan rekod kokurikulum serta sijil penghargaan yang diberikan. Semua ini perlu direkodkan di dalam buku profil murid. Laporan juga perlu dimajukan kepada murid, ibu bapa dan juga Jawatankuasa Kurikulum, Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Guru Pembantu atau Pembantu Guru?

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru