SKPM Bahagian 5
Dimensi 3 – Pengurusan Program Pendidikan
Elemen 8 – Pengurusan Program Kurikulum, Kokurikulum dan Hal Ehwal Murid.
Pengurusan Program Kurikulum
Jawatankuasa Kurikulum Sekolah perlu berfungsi secara aktif dan berkesan. Bidang tugas jawatankuasa ini adalah untuk memastikan perjalanan semua aktiviti kurikulum adalah lancar dan berkesan. Jawatankuasa ini dikehendaki menetapkan Dasar Kurikulum Sekolah. Perjalanan segala program kurikulum sekolah akan berpandukan pada dasar yang telah ditetapkan. Pembinaan dasar ini hendaklah selaras dengan Visi dan Misi sekolah. Ahli-ahli jawatankuasa ini hendaklah terdiri daripada Guru Penolong Kanan, Ketua Panitia, Guru Bimbingan, Penyelaras Pusat Sumber, Penyelaras Peperiksaan, Penyelaras Jadual Waktu dan Penyelia Petang. Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk menyediakan belanjawan tahunan bidang kurikulum. Belanjawan ini adalah untuk semua mata pelajaran yang ada. Pembahagian peruntukan belanjawan hendaklah berpandukan pekeliling kewangan yang telah ditetapkan. Setiap Ketua Panitia perlu tahun jumlah peruntukan yang diberikan kepada panitianya. Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab merancang dan menyelaras semua program dan aktiviti kurikulum yang telah disediakan di dalam Perancangan Strategik. Memantau dan menilai keberkesanan segala program, aktiviti dan projek kurikulum serta melaksanakan penambahbaikan ke atas segala kelemahan yang telah dikesan merupakan tugas utama jawatankuasa ini. Jawatankuasa ini perlu mengadakan mesyuarat seberapa kerap yang boleh untuk memastikan semua program dan aktiviti kurikulum berjalan lancar.
Panitia Mata Pelajaran adalah satu lagi unit yang amat penting. Keberkesanan sesebuah panitia itu bergantung pada kepimpinan panitia tersebut. Segala aktiviti dan program panitia perlu selaras dengan Perancangan Strategik Sekolah. Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran yang terkini perlu disediakan oleh Panitia dan diagihkan kepada semua guru yang berkenaan. Rancangan Pelajaran Mata Pelajaran juga perlu disediakan mengikut keperluan berdasarkan tahap pencapaian murid-murid. Berdasarkan kajian dan analisis serta program pembangunan kurikulum sekolah, panitia perlu menyelaraskan semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti jumlah latihan, jenis latihan, jenis buku teks, kekerapan penilaian dan tugasan yang perlu diberikan kepada murid-murid. Panitia juga bertanggungjawab dalam peningkatan prestasi akademik sekolah. Pencapaian setiap aliran perlu dikaji dan dibuat analisis agar segala kelemahan yang dikesan dapat diatasi segera. Mesyuarat Panitia perlu diadakan setiap kali penilaian telah dijalankan untuk mengkaji dan membuat analisis item serta menyenaraikan topik-topik yang perlu diperkukuhkan. Buku-buku teks, buku rujukan dan buku-buku keperluan perpustakaan akan dipilih oleh ahli jawatankuasa panitia.
Jadual Waktu sekolah perlu disediakan oleh pihak pengurusan sekolah mengikut keperluan seperti bilangan kelas, mata pelajaran yang ditawarkan, jumlah waktu yang diperuntukkan oleh peraturan, penggunaan bilik-bilik khas dan mengikut kemudahan bilik yang ada. Pihak pengurusan perlu menyediakan satu Jadual Waktu Induk, Jadual Waktu Individu, Jadual Waktu Kelas dan Jadual Waktu Bilik Khas. Satu Jadual Waktu Ganti perlu disediakan untuk memastikan guru-guru yang tidak hadir diganti oleh guru-guru lain. Guru-guru yang mengganti guru-guru yang tidak hadir seboleh-bolehnya adalah guru-guru yang mengajar mata pelajaran yang sama dengan guru-guru yang tidak hadir.
Pihak pengurusan sekolah juga perlu menyediakan satu jadual penyeliaan pengajaran dan pembelajaran . Instrumen penyeliaan perlu disediakan berpandukan
Pusat Sumber Sekolah (PSS)
Jawatankuasa Pusat Sumber Sekolah adalah satu lagi unit yang penting sebagai unit sokongan kepada pembangunan kurikulum sekolah. Jawatankuasa ini perlu menyediakan dokumen pengurusan PSS. Maklumat yang berkaitan dengan PSS perlu didokumentasikan untuk rujukan mereka yang berkenaan. Program dan aktiviti tahunan PSS perlu disediakan berasaskan program dan aktiviti kurikulum sekolah. Program dan aktiviti PSS adalah merupakan program dan aktiviti sokongan kepada program dan aktiviti Kurikulum Sekolah. Semua program dan aktiviti yang telah disediakan perlu dilaksanakan. Pemantauan dan penyeliaan program dan aktiviti perlu dilakukan untuk mengesan kelemahan dan impak terhadap pembelajaran murid agar penambahbaikan dapat dirancang dan dilaksanakan. Salah satu program utama yang perlu dijalankan di semua sekolah oleh PSS adalah Program Galakan Membaca. Sebelum program ini dijalankan, segala sumber seperti koleksi bahan bacaan yang sesuai dengan tahap kebolehan murid adalah mencukupi. Rekod pelaksanaan program ini perlu diadakan secara berterusan dan sentiasa dikemaskinikan.
Jawatankuasa Penilaian dan Peperiksaan
Jawatankuasa ini bertanggungjawab dalam pengurusan dan penyelarasan semua penilaian Penilaian Kendalian Sekolah (PKSR/PKSM) dan peperiksaan awam. Jadual PKSR/PKSM hendaklah disediakan oleh jawatankuasa ini. Analisis keputusan semua penilaian hendaklah dibuat oleh jawatankuasa ini. Analisis ini perlu didokumentasikan dan diedarkan kepada setiap panitia dan Jawatankuasa Kurikulum Sekolah untuk rujukan mereka. Melalui analisis ini langkah penambahbaikan boleh dirancang dan dilaksanakan.
Comments