SKPM Bahagian 4(Sambungan)

Elemen 5 – Iklim
Iklim sekolah merupakan salah satu elemen yang amat berpengaruh dalam pembangunan sesebuah sekolah. Apabila kita bercakap mengenai iklim sekolah, kita perlu melihat dari aspek premis sekolah, sistem komunikasi di sekolah, kebebasan optimum warga sekolah, disiplin, motivasi guru, staf dan murid-murid, kerjasama ibu bapa dan masyarakat.

Premis sekolah
Kawasan sekitar sekolah perlu mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lengkap. Pagar sekolah perlu berada dalam keadaan baik. Kawalan keselamatan oleh pengawal keselamatan perlu berjalan dengan baik agar pergerakan orang keluar masuk ke kawasan sekolah dikawal. Tanda-tanda keselamatan seperti “Awas Bahaya” perlu diletak di tempat-tempat yang berisiko tinggi. Tempat-tempat yang berisiko tinggi juga perlu dipagarkan supaya murid-murid tidak ke tempat-tempat tersebut. Kawasan sekolah juga perlu ceria dan bersih. Landscaping yang cantik dan menarik perlu dibina di sekitar kawasan sekolah agar sekolah kelihatan cantik dan menarik. Kemudahan-kemudahan seperti pondok bacaan, bangku-bangku untuk murid-murid berehat, kawasan pondok menunggu bas sekolah atau ibu bapa, laluan berteduh di antara bangunan dan tandas yang lengkap, berfungsi dan ceria. Semua ini akan menjadi daya tarikan murid-murid dan ibu bapa ke sekolah. Lain-lain kemudahan seperti bilik rawatan dan bilik menunggu, jika mempunyai kemampuan bolehlah diadakan.

Komunikasi
Sistem komunikasi yang ada di sekolah perlu berkesan. Maklumat yang ingin disampaikan kepada kumpulan sasaran perlu telus, jelas dan mudah difahami. Sebarang maklumat yang ingin disampaikan perlu disampaikan dalam masa yang singkat agar tidak berlaku kelewatan menerima arahan. Kelewatan menerima arahan akan menjejaskan kelancaran perjalanan aktiviti sekolah. Hubungan di antara Pejabat sekolah dengan Bilik Guru perlu mudah dan berkesan supaya sebarang arahan yang ingin disampaikan kepada guru dapat disampaikan. Sekolah juga perlu mempunyai satu sistem siaraya yang baik dan berkesan. Ia akan memudahkan pihak pengurusan menyampaikan maklumat kepada seluruh warga sekolah. Warga sekolah perlu diberi kebebasan untuk menyampaikan maklum balas dan pendapat secara bebas kepada pihak pengurusan sekolah. Sebarang maklumat yang berkaitan perlu dikongsi bersama dengan guru-guru dan staf sekolah.

Kebebasan Optimum
Guru-guru dan staf sekolah perlu diberi kebebasan yang terkawal untuk membuat sebarang keputusan profesional. Sebarang keputusan yang berbentuk profesional perlu dibincangkan bersama pihak pengurusan untuk mengelak daripada berlaku sebarang pelanggaran peraturan atau prosedur. Semua warga sekolah adalah bebas untuk mengguna dan melaksanakan kreativiti masing-masing dalam melaksanakan tugas asalkan ia tidak menimbulkan masalah kepada pihak lain. Cadangan dan pandangan guru-guru dan staf akan dibincangkan bersama dan keputusan dibuat setelah mendapat kata sepakat.

Disiplin
Semua warga sekolah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menjaga disiplin diri. Guru-guru dan staf sokongan mematuhi peraturan dan etika perkhidmatan masing-masing. Tidak terdapat mereka yang melanggar peraturan dan etika perkhidmatan. Murid-murid pula mempunyai tatasusila dan keperibadian yang baik serta sentiasa mematuhi peraturan sekolah. Prinsip Kesopanan dan Kesusilaan sentiasa diamalkan oleh semua murid.

Motivasi Guru, Staf Sokongan dan Murid
Guru-guru sekolah dan staf sokongan sentiasa bermotivasi tinggi. Mereka sanggup menjalankan tugas tanpa mengambil kira masa, walaupun mereka terpaksa melaksanakan tugas di luar waktu bertugas rasmi. Segala tugas yang diamanahkan akan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Mereka juga sanggup menerima tugas yang diberi secara ad-hoc tanpa sebarang rungutan. Semua tugas itu akan dilaksanakan dengan baik dan bersungguh-sungguh. Mereka juga berani mencuba idea-idea baru dalam melaksanakan tugas. Murid-murid pula sanggup belajar bersungguh-sungguh walaupun dikehendaki hadir untuk belajar di luar waktu persekolahan biasa. Murid-murid juga sanggup menerima dan melaksanakan tugasan yang diberikan oleh guru. Malahan semua warga sekolah adalah bermotivasi tinggi.

Kerjasama Ibu Bapa dan Komuniti.
Pihak sekolah kerap mengadakan perjumpaan bersama ibu bapa bagi sama-sama berbincang mengenai masalah pelajaran dan disiplin yang dihadapi pihak sekolah. Melalui perbincangan ini satu jalan penyelesaian yang terbaik akan dapat dihasilkan. Melalui perjumpaan ini juga pihak sekolah dapat menyampaikan maklumat mengenai takwim penilaian sekolah, hari sukan, hari anugerah kecemerlangan dan hari kokurikulum kepada semua ibu bapa. Ini akan memudahkan ibu bapa merancang percutian mereka. Adalah diharapkan melalui perjumpaan ini akan wujud suasana di mana ibu bapa dan komuniti mempunyai kesediaan untuk memberi kerjasama dan sumbangan kepada pihak sekolah. Pada masa yang sama warga sekolah juga mempunyai kesediaan dan kesanggupan untuk memberi kerjasama kepada ibu bapa dan komuniti.

Dalam keluaran yang akan datang kita bincang pula mengenai Elemen 6 – Pengurusan dan Pembangunan Sumber. Aspek yang akan dibincangkan adalah pengurusan kemudahan dan keperluan asas, pengurusan kewangan, pengurusan sumber manusia, pengurusan pejabat dan pengurusan kurikulum. Insya-Allah.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Guru Pembantu atau Pembantu Guru?

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru