SKPM Bahagian 4

Dimensi 2 – Pengurusan Organisasi

Elemen 3 – Struktur Organisasi
Struktur organisasi sekolah perlu ditentukan dengan jelas agar tidak berlaku pertindihan tugas dan kekeliruan dari segi hierarki jawatan semua anggota sekolah. Struktur organisasi hendaklah sesuai dengan gred sekolah. Ia mestilah berfungsi dan mudah difahami oleh semua anggota sekolah. Struktur organisasi sekolah mestilah menunjukkan dengan jelas kedudukan sesuatu jawatan dan jawatankuasa dalam pengurusan dan pentadbiran hingga ke peringkat yang paling rendah dalam hierarki organisasi sekolah. Setiap jawatankuasa utama seperti Jawatankuasa Kurikulum, Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum juga perlu mempunyai carta organisasinya sendiri. Struktur organisasi sekolah hendaklah didokumentasikan di dalam semua dokumen penting sekolah. Carta organisasi utama sekolah perlu dipamerkan di pejabat Guru Besar, Pejabat, Bilik Darjah dan Bilik Gerakan. Carta organisasi semua unit kecil perlu juga dipamerkan di bilik-bilik yang berkenaan seperti Pejabat Sekolah, Bilik Guru, Perpustakaan, Bilik Penolong Kanan dan lain-lain bilik khas. Carta organisasi Panitia, Kelab dan Persatuan serta Unit Beruniform perlu didokumentasikan di dalam fail masing-masing. Struktur organisasi sekolah perlulah diperjelaskan kepada semua warga sekolah termasuk Ibu Bapa.

Elemen 4 – Perancangan
Sekolah perlu menyediakan perancangan sekolahnya dalam tiga bentuk iaitu Perancangan Strategik, Perancangan Taktikal dan Perancangan Operasi.

Perancangan Strategik adalah pelan yang mempunyai jangkamasa yang panjang. Biasanya ia meliputi masa selama lima tahun. Pelan Strategik hendaklah disediakan untuk bidang-bidang berkenaan:- Kurikulum, Hal Ehwal Murid, Kokurikulum, Kewangan, Sumber Manusia dan Prasarana Sekolah. Sebelum pelan ini disediakan satu kajian analisis persekitaran sekolah perlu dilakukan. Segala kekuatan, kelemahan, peluang dan gangguan yang ada perlu disenaraikan dan dikaji kesannya ke atas pelan yang akan dibina. Segala keperluan sekolah hendaklah diambil kira semasa pelan dibina. Visi dan misi sekolah tidak boleh diabaikan. Pelan ini perlu selari dengan visi dan misi sekolah. Kedudukan dan pencapaian sekolah semasa dijadikan Tahap Permulaan ( Take-off value ). Sasaran dan hasil yang dijangkakan ( Expected Targeted Result ) ditentukan bersesuaian dengan Visi dan Misi sekolah. Peningkatan berperingkat ( Operational Targeted Increment ) juga perlu ditentukan agar peningkatan dapat diukur bagi setiap peringkat peningkatan. Kegagalan untuk meningkat mengikut peringkat peningkatan yang telah ditetapkan akan dianalisis agar langkah-langkah penambahbaikan boleh diambil untuk memastikan Sasaran dicapai pada akhir jangkamasa yang telah ditetapkan. Analisis bagi setiap peringkat peningkatan amat penting bagi menentukan kejayaan pelan yang dibina.

Perancangan Taktikal adalah pelan yang dibina berdasarkan Perancangan Strategik. Pelan taktikal adalah pelan yang akan dilaksanakan bagi tahun semasa. Pelan ini merupakan satu unit perancangan yang diambil dari Pelan Strategik. Segala keperluan semasa sekolah hendaklah diambilkira. Masalah-masalah yang sering dihadapi hendaklah juga dikaji. Keperluan sumber seperti kewangan, sumber tenaga dan kemudahan asas perlu dilihat dan dipenuhi. Pelaksanaan pelan ini perlu di pantau dan dinilai dari masa ke masa. Jika terdapat kelemahan dalam pelaksanaan pelan ini, ia perlu dikaji semula dan pengubahsuaian perlu dilakukan untuk memastikan ia berjaya.

Perancangan Operasi pula adalah satu unit daripada Pelan Taktikal. Aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan di dalam Pelan Taktikal akan dijadikan aktiviti Pelan Operasi. Pelan Operasi perlu mempunyai objektif yang jelas. Ia juga disediakan dengan menentukan kumpulan sasaran, strategi pelaksanaan yang akan digunakan, masa dan tempoh pelaksanaan, anggota yang bertanggungjawab serta sumber yang diperlukan. Segala kekangan dan halangan yang mungkin dihadapi juga perlu dikanalpasti. Langkah-langkah pemantauan dan penilaian juga perlu ditentukan. Langkah-langkah untuk penambahbaikan jika berlaku kepincangan semasa pelan dilaksanakan perlu disediakan.



CONTOH
Perancangan Strategik ( 2007 – 2011 )
Bidang : Kurikulum
Aktiviti : Peningkatan prestasi akademik kepada 80% lulus UPSR
TOV : 55% lulus
OTI : 5% setiap tahun
ETR : 80% lulus

Perancangan Taktikal -2007
Bidang : Kurikulum
Objektif : Mencapai kelulusan 60%
Aktiviti : 1. Kajian dan analisis keputusan penilaian Setengah Tahun dan Akhir Tahun
2. Ujian dan Penilaian Bertopik
3. Kelas Pengukuhan dan Pengayaan.

Pelan Operasi – 2007
Bidang : Kurikulum
Aktiviti : Kajian dan analisis keputusan Setengah Tahun dan Akhir Tahun
Objektif : Mengenal pasti murid-murid yang akan disasarkan lulus.
Kumpulan Sasaran: Murid-murid Tahun Empat
Strategi Pelaksanaan : Disusunkan mengikut keperluan
Tempoh Pelaksanaan : Januari 2007 hingga November 2007
Sumber Tenaga : Guru-guru Tahun 4


Harus diingat bahawa penyediaan perancangan-perancangan di atas hendaklah dibuat secara bersama dengan semua warga sekolah. Satu jawatankuasa khas bagi setiap bidang perlu diwujudkan yang anggotanya terdiri daripada ketua-ketua panitia, ketua-ketua unit kokurikulum dan ketua-ketua unit hal ehwal murid. Setelah draf perancangan siap ia perlu dibentang dan dibincang bersama dalam satu mesyuarat khas yang melibatkan semua warga sekolah. Setelah satu persetujuan telah dicapai barulah perancangan tersebut didokumentasikan. Satu naskah dokumen tersebut perelu diletakkan di Bilik Guru, Bilik Guru Penolong Kanan, Bilik Gerakan, Pejabat dan Bilik Guru Besar.

Kita akan bincang elemen 5, 6 dan 7 di dalam keluaran yang akan datang. Insayallah.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Guru Pembantu atau Pembantu Guru?

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru