SKPM Bahagian 3
Elemen 2 : Kepimpinan
Bercakap mengenai kepimpinan, aspek yang diambil kira dalam Instrumen Pemastian Standard SKPM ia Gaya Kepimpinan, Budaya Ilmu dan berfikir, Permuafakatan, Motivasi dan Dorongan, Pemimpin Kurikulum dan Pengupayaan Kepimpinan.
Gaya Kepimpinan
Gaya kepimpinan yang berkesan merupakan faktor penting dalam sesebuah organisasi. Seorang pengurus sekolah perlu proaktif, kreatif dan inovatif dalam membuat perancangan sekolah. Beliau perlu menetapkan satu dasar yang jelas bagi sekolahnya. Sebarang masalah yang dihadapi akan dilihat secara berhemah dan diatasi secara bijak dan sesuai mengikut keadaan. Warga sekolah amat mudah berinteraksi dengan pengurus sekolah jika ia bersikap luwes dan terbuka. Setiap anggota diberi peluang untuk berbincang dan membuat keputusan secara bersama. Seorang pengurus yang berkesan mengenali setiap anggota sekolahnya. Profil setiap anggota sekolah adalah di dalam pengetahuannya. Kelemahan dan kekuatan setiap anggota sekolah akan dijadikan panduan untuk bertindak agar isu-isu sensitif yang boleh menyinggung perasaan anggotanya dapat ditangani dengan baik. Setiap sudut dan kawasan sekolah sentiasa diawasi dan dipantau. Beliau sentiasa dapat dilihat oleh warga sekolah setiap hari. Seorang pengurus yang berkesan tidak akan duduk di biliknya sepanjang hari. Malah ia jarang kelihatan di biliknya, sebaliknya beliau sentiasa berada di Bilik Guru berbincang dengan guru-guru atau bertanya khabar. Memasuki kelas yang tiada guru untuk memberi dorongan dan motivasi kepada murid-murid. Bilik-bilik Khas juga dilawati untuk mengenalpasti keperluan bilik tersebut. Kantin sekolah juga dipantau dan kadangkala bersama pekerja sekolah berbincang dan mendapat pendapat atau cadangan yang boleh memajukan lagi sekolah.
Budaya Ilmu dan Berfikir
Seorang pengurus yang berkesan akan memastikan bahawa bahan-bahan rujukan yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran adalah mencukupi dan disimpan di Bilik Guru agar mudah untuk para guru membuat rujukan. Guru-guru digalakkan untuk menghadiri kursus-kursus dan seminar untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan mereka. Sesi perkembangan staf kerap diadakan agar ilmu yang diperolehi oleh guru-guru yang telah menghadiri kursus atau seminar dapat dikongsi ilmu mereka dengan guru-guru lain. Beliau kerap mengadakan perbincangan ilmiah dalam kumpulan-kumpulan kecil bagi memberi peluang kepada guru-guru untuk berkongsi pandangan dan mencari jalan penyelesaian bagi sesuatu masalah yang dihadapi oleh pihak sekolah. Guru-guru didedahkan kepada penggunaan internet untuk mendapat maklumat-maklumat berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran. Malahan bahan-bahan pengajaran amat banyak diperolehi melalui internet. Budaya menyelidik dan membuat kajian digalakkan di kalangan guru-guru.
Permuafakatan
Permuafakatan adalah satu budaya yang kerap diamalkan oleh seorang pengurus sekolah yang berkesan. Budaya kerja dalam pasukan digalakkan di kalangan guru-guru dan pekerja sekolah. Semangat kekitaan dipupuk di kalangan warga sekolah agar rasa cintakan sekolah wujud di sanubari semua warga sekolah. Setiap warga dihormati sebagai individu yang mempunyai sikap dan keperibadiannya tersendiri. Sikap dan budaya negatif akan diatasi secara berhemah tanpa menyinggung perasaan individu yang terlibat. Semua warga sekolah diberi kepercayaan dalam menjalankan tugas mereka. Beliau akan memberi penegasan kepada semua warga sekolah bahawa mereka diberi kepercayaan untuk menjalankan tugas dengan sehabis baik. Sikap pilih kasih dan syak wasangka terhadap mana-mana warga sekolah tidak diamalkan, malah jika terdapat mana-mana warga yang bersikap negatif akan dipanggil untuk diberi nasihat. Individu berkenaan akan diberi peluang untuk memberi penjelasan di atas tindakannya. Teguran yang diberi adalah teguran yang membina. Beliau akan menunjuk sikap perihatin beliau kepada masalah yang sedang dihadapi warga sekolahnya. Semua perbincangan akan dilayan sebagai sesuatu yang sulit dan tidak akan dimaklumkan kepada sesiapapun. Jika warga sekolah yang mempunyai masalah kerap mengadakan perjumpaan dengan pengurus sekolah, maka beliau telah berjaya mewujudkan satu budaya permuafakatan yang amat tinggi di kalangan warga sekolah.
Motivasi dan Dorongan
Apabila tiba masa untuk membuat penilaian kerja tahunan, seorang pengurus yang berkesan tidak akan membenarkan emosi dan sentimen mempengaruhi penilaian yang akan dibuat. Penilaian akan dibuat secara adil dan saksama berdasarkan hasil kerja setiap individu. Setiap kejayaan akan diberi penghargaan yang sesuai dan sepatutnya. Guru-guru yang telah menunjukkan kejayaan akan diberi sokongan moral agar mereka akan terus membina kejayaan demi kejayaan. Kejayaan sekolah akan dikongsi bersama semua warga sekolah sebagai satu kejayaan hasil kerja bersama dalam satu pasukan. Pengurus sekolah yang berkesan juga akan mengajar sebilangan waktu. Malah beliau akan mengajar mata pelajaran teras dan penting. Guru-guru yang menghadapi masalah dalam pengajaran dan pembelajaran dibenarkan untuk duduk di dalam kelas beliau untuk meneliti cara beliau mengajar. Malah beliau juga perlu memantau pengajaran dan pembelajaran guru agar segala kelemahan yang ada akan dapat dibincang bersama untuk mencari penyelesaiannya. Beliau juga akan membantu guru yang menghadapi masalah dalam pengajaran dan pembelajaran dengan mengambil alih kelas guru berkenaan. Guru berkenaan dikehendaki berada bersama di dalam kelas untuk melihat teknik pengajaran yang digunakan oleh Guru Besar. Guru akan diajak berbincang setelah sesi pengajaran selesai. Sebarang kekurangan dan kelemahan yaqng ada akan dibincang dan diselesaikan bersama.
Pemimpin Kurikulum
Beliau akan memain peranan sebagai pemimpin dalam semua bidang di sekolah. Segala perkembangan dan pembangunan kurikulum, hal ehwal murid dan ko-kurikulum adalah dalam makluman beliau. Segala data dan maklumat di dalam semua bidang berkenaan adalah dalam makluman beliau. Perbincangan kerap diadakan bersama semua ketua yang bertanggungjawab ke atas setiap bidang. Ketua-ketua dalam semua bidang diberi kebebasan untuk menentukan dan memilih bahan-bahan atau alatan yang diperlukan bagi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Segala keperluan prasarana akan dicukupkan. Mesin fotokopi yang “heavy duty”, komputer, mesin pencetak “Risograph” dan juga modem tanpa wayar bagi memudahkan akses kepada internet akan disediakan. Modem ini akan memudahkan guru-guru mendapat akses kepada internet di mana-mana sahaja di sekitar sekolah. Guru-guru boleh mengguna komputer riba mereka pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Setiap bilik darjah akan dilengkapi dengan skrin dan projektor LCD oleh pihak Kementerian Pelajaran, jadi adalah wajar bagi pihak sekolah menyediakan meja khas untuk meletak komputer riba dengan kabel penyambung kepada projektor LCD dan pembesar suara sedia ada. Ini akan menjimatkan masa guru untuk menyediakan peralatan tersebut. Suasana dan iklim yang sesuai dan kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran akan wujud di sekolah tersebut. Sesuai dengan masa kini semua papan hijau perlu digantikan dengan papan putih. Ini akan mengelak murid-murid dan guru daripada bahaya habuk kapur.
Pengupayaan Kepimpinan
Guru-guru yang diberi tanggungjawab tidak akan dibiarkan begitu sahaja, malah seorang pengurus yang berkesan akan memberi latihan dan bimbingan kepada guru berkenaan agar mereka menjadi pemimpin dan ketua yang berkualiti serta berwibawa. Guru-guru ini diberi kebebasan untuk membuat keputusan bagi unit yang dipimpin mereka. Mereka perlu bertanggungjawab ke atas semua tindakan dan keputusan yang dibuat. Bagi mengelak dan mengurangkan kesilapan besar dilakukan adalah digalakkan kertas kerja setiap aktiviti dibincang bersama pengurus sekolah sebelum ia dilaksanakan. Walaupun penurunan kuasa dilakukan seorang pengurus itu perlu bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan yang diambil. Penurunan kuasa tidak bermakna pengurus itu melepaskan tanggungjawabnya kepada orang yang diturunkan kuasa tersebut. Tugas-tugas yang diberi kepada guru-guru perlu dipantau dan diberi penilaian. Hasil pemantauan dan penilaian perlu dibincang bersama guru berkenaan. Guru-guru Penolong Kanan adalah orang kanan seorang pengurus sekolah. Mereka perlu diturunkan kuasa untuk mengurus bidang masing-masing sebaik mungkin. Perbincangan bersama guru-guru Penolong Kanan perlu kerap diadakan. Dalam perbincangan ini perkongsian maklumat dan penyelesaian masalah dapat dilakukan. Apabila sekolah berjalan dengan baik, kemas dan lancar walaupun pengurusnya tiada di sekolah, maka pengurus sekolah tersebut telah berjaya mewujudkan budaya kerja cemerlang di sekolahnya. Beliau adalah seorang pengurus sekolah yang berkesan sebagaimana yang dikehendaki oleh SKPM.
Dalam keluaran akan datang kita akan bincang pula Dimensi 3 yang berkaitan dengan Pengurusan Organisasi yang melibatkan elemen 3 hingga 7. Insya Allah.
Comments