Beratnya Beg Sekolah! Mengapa agaknya?

Isu beg sekolah berat adalah isu lama. Isu ini telah mula dibangkitkan oleh ibu bapa sejak tahun 1995 lagi. Pihak Kementerian Pelajaran telah mengambil beberapa langkah untuk mengatasi masalah ini. Beberapa Surat Pekeliling Ikhtisas telah dikeluarkan bagi tujuan mengatasi masalah beg berat. Pada lazimnya semua murid dikehendaki membawa semua buku teks mata pelajaran teras yang diajar setiap hari iaitu mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam dan Sains. Selain daripada itu terdapat juga teks bagi Mata Pelajaran pilihan seperti Kemahiran Hidup, Muzik dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Secara puratanya setiap hari setiap murid Tahap Satu perlu membawa sebanyak lapan buah buku teks dan Buku Latihan Aktiviti. Murid-murid juga perlu membawa bersama buku rampaian bagi setiap mata pelajaran yang diajar pada hari itu. Biasanya buku rampaian ini berjumlah sebanyak 10 buah iaitu, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Pendidikan Islam (dua naskah setiap satu mata pelajaran). Jadi jumlah buku yang perlu dibawa setiap hari adalah sebanyak 18 buah. Bilangan buku yang begitu banyak sudah tentu akan membebankan murid-murid berkenaan. Bagi murid-murid Tahap Dua sudah tentu akan bertambah dengan tambahan mata pelajaran pilihan. Purata jumlah buku yang akan dibawa adalah sebanyak 24 buah. Banyaknya buku yang perlu dibawa ke sekolah setiap hari.

Bagi mengatasi masalah ini pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan satu surat pekeliling pada tahun 1995. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 10/995 bertajuk PELAKSANAAN JADUAL WAKTU ANJAL BAGI SEKOLAH RENDAH DAN SEKOLAH MENENGAH. Surat tersebut adalah bertujuan untuk mengatasi masalah beg berat. Dalam perenggan kedua surat tersebut jelas dinyatakan tujuan pekeliling tersebut iaitu untuk mengurangkan beg berat. Mengikut surat pekeliling tersebut jumlah mata pelajaran yang diajar sehari adalah tidak melebihi lima berbanding jadual waktu biasa di mana tujuh mata pelajaran diajar sehari. Jika semua guru besar dan pengetua mematuhi pekeliling ini dengan mengadakan jadual waktu anjal di mana setiap hari hanya empat mata pelajaran diajar sudah tentu masalah beg berat boleh diatasi. Malangnya kebanyakan pihak pentadbir sekolah tidak mematuhi pekeliling tersebut. Alasan yang diberi adalah guru-guru tidak setuju mata pelajaran teras tidak diajar setiap hari. Di sini bukannya guru-guru bersetuju atau tidak, tetapi mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Tidak dinafikan bahawa menyediakan sebuah Jadual Waktu Anjal bukanlah satu kerja yang mudah, tetapi bagi mengatasi masalah yang ada ia perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh. Sikap ambil mudah pihak pentadbir sekolah telah menjadikan isu beg berat ini berlarutan sehingga ke hari ini. Malahan tuduhan bahawa guru-guru tidak prihatin terhadap masalah ini telah dilempar oleh ibu bapa yang tidak memahami masalah pihak sekolah.

Melalui pengalaman saya, kebanyakan murid suka membawa kesemua buku rampaian walaupun yang belum digunakan. Ini adalah kerana guru yang mengajar tidak memaklumkan agar membawa buku kosong untuk kegunaan pada hari tersebut. Jika seorang murid itu tidak membawa buku rampaian kosong sudah tentu ia akan dihukum oleh gurunya. Guru sekolah saya akan mengumpul semua buku rampaian yang belum digunakan dan disimpan di dalam almari kelas. Tak perlu murid bawa setiap hari. Buku BLA ( Buku Latihan Aktiviti ) juga disimpan di sekolah dan semua latihan dijalankan di sekolah. Jadi sudah tentu jumlah buku yang perlu dibawa akan berkurangan. Murid-murid perlu diajar dan dibantu oleh ibu bapa untuk melihat Jadual Waktu agar hanya buku yang diperlukan dibawa ke sekolah setiap hari. Jika tidak sudah tentu semua buku akan dibawa setiap hari. Maka berat lah beg. Takkan itu pun salah guru.

Buku Kerja juga dijadikan salah satu alasan yang menyebabkan beg berat. Untuk makluman masalah buku kerja juga telah diatasi oleh pihak Kementerian melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/2000 bertajuk Penggunaan Buku Kerja Di Sekolah Rendah. Para 2 A dengan jelas menerangkan penggunaan Buku Kerja. Buku Kerja tidak boleh digunakan di sekolah. Ia hanya sebagai bahan latihan tambahan yang dibuat di rumah. Jadi tidak, akan timbul buku kerja sebagai salah satu bahan yang memberatkan beg sekolah. Jika ada murid yang dikehendaki membawa buku-buku tersebut ke sekolah bermakna guru tersebut tidak mematuhi surat pekeliling berkenaan. Saya rasa masalah beg berat boleh diatasi jika ibu bapa dan pihak sekolah bekerjasama. Banyak lagi isu yang lebih penting yang perlu difikirkan bagi memajukan lagi prestasi akademik anak-anak kita di sekolah. Saya harap isu beg berat selesai dan bukan lagi menjadi satu masalah besar di kalangan ibu bapa.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Guru Pembantu atau Pembantu Guru?

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru