SEPATUTNYA, TETAPI........

Dalam kita menjalankan tugas-tugas kita sebagai seorang pendidik, banyak cabaran yang terpaksa kita hadapi. Ramai di antara kita tidak memahami apa itu tugas dan tanggungjawab seorang guru. Adakah tugas dan tanggungjawab kita hanya sekadar masuk ke kelas dan mengajar selama masa yang telah di tetapkan, menanda kerja-kerja dan latihan yang telah kita berikan serta memberi ujian apabila tiba masanya. Markah ujian dicatat di dalam rekod murid dan juga sekolah. Maka selesailah tugas kita mendidik anak-anak kita. Amat mudah dan senang sekali tugas seorang guru. Itu adalah pandang masyarakat terhadap profesion perguruan. Pada hakikat sebenarnya pandangan ini boleh dihapuskan dan diperbetulkan jika kita para guru faham dan tahu apa sebenarnya tugas dan tanggungjawab kita.

Kita SEPATUTNYA…..

Memahami dan menghayati inti pati Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Memahami dan menghayati objektif dan matlamat Kurikulum Baru Sekolah Rendah ( KBSR )
Memahami dan menghayati Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran.
Mengenali potensi dan tahap kemampuan setiap murid yang kita ajar.
Merancang pengajaran mengikut tahap kemampuan setiap murid.
Membina sebuah “Lesson Pelan” sebelum memulakan pengajaran.
Mengajar sesuatu kemahiran mengikut langkah-langkah ansur maju.
Mengguna alat-alat bantu mengajar dan juga alat-alat bantu belajar dalam pengajaran kita.
Mengguna kemudahan ICT dan juga alat-alat AVA yang telah dibekalkan oleh Kementerian.
Menilai setiap pelajar setelah sesuatu kemahiran itu diajar.
Membuat analisis item bagi setiap ujian/penilaian.
Menyenaraikan item/topik/kemahiran yang masih ramai murid tidak menguasainya.
Mengasingkan murid-murid mengikut tahap pencapaian masing-masing setelah dinilai.
Menyediakan lembaran kerja secara terancang mengikut tahap pencapaian murid.
Menjalankan aktiviti pemulihan, pengukuhan dan pengayaan bagi setiap kumpulan murid yang telah diasingkan mengikut tahap penguasaan masing-masing.
Mengenal pasti murid-murid yang terlalu lemah penguasaannya untuk disalurkan ke kelas Pemulihan Khas.
Memberi kerja-kerja yang lebih mencabar kepada murid-murid yang cemerlang agar potensi mereka boleh dikembangkan lagi.
Membantu murid-murid yang lemah untuk menguasai kemahiran yang diajar.
Memastikan bahawa setiap murid yang kita ajar menunjukkan peningkatan dalam pelajarannya.
Mengadakan perbincangan dengan ibu bapa murid-murid yang lemah dan juga murid-murid yang cemerlang agar dapat sama-sama membangunkan potensi anak-anak itu.
Mengadakan perbincangan dengan rakan sekerja untuk memajukan lagi proses pengajaran kita.

Tetapi apa YANG SEDANG BERLAKU adalah…….

Falsafah Pendidikan Kebangsaan hanya sebagai sebuah catatan di dalam Buku Rekod Mengajar. Entah dibaca entah tidak.
Kurikulum Baru Sekolah Rendah adalah bahan sejarah. Ada yang tak tahu pun apa itu KBSR. Malah ada yang mengatakan bahawa ia telah dimansuhkan. Entah bila ya?
Sukatan Pelajaran tak pernah dibaca dan dihayati. Huraian Sukatan Pelajaran pula disalin bulat-bulat ke dalam Buku Rekod Mengajar sebagai Rancangan Pengajaran.
Potensi dan Tahap Kemampuan murid tidak pernah diambil kira. Pengajaran dijalankan mengikut selera guru.
Rancangan Pelajaran ditulis di dalam Buku Rekod Mengajar tanpa sebarang perancangan yang teliti mengikut tahap kemampuan murid.
Apa yang hendak diajar tidak pernah dirancang dengan teliti. Sekadar menulis tajuk dan kemahiran yang hendak diajar sudah memadai.
Bila masuk ke kelas untuk mengajar, apa yang diajar adalah secara apa yang terfikir pada masa itu.
Alat bantuan mengajar atau lain-lain alat tidak pernah digunakan. Kalau ada pun yang di ambil secara rawak beberapa minit sebelum masuk ke kelas.
Komputer Riba yang dibekalkan menjadi hak peribadi. Sepatutnya ia digunakan untuk menyediakan bahan-bahan bantu mengajar melalui perisian yang disediakan.
Lembaran kerja yang diberikan ditanda dan dipulangkan kepada murid. Tiada sebarang analisis dibuat sama ada untuk mengesan kemahiran yang belum dikuasai.
Murid-murid tidak diasingkan mengikut tahap pencapaian masing-masing. Mereka kerap kali diabaikan tanpa sebarang bantuan diberikan.
Aktiviti kumpulan, pemulihan, pengukuhan dan pengayaan tidak dijalankan.
Lembaran kerja disediakan tanpa sebarang perancangan atau mengikut tahap kemampuan murid.
Murid-murid cerdas tidak beri latihan yang lebih mencabar. Mereka duduk bersama murid-murid lain membuat lembaran kerja yang sama dan akan mengganggu murid lain kerana kerja telah siap lebih awal.
Perbincangan bersama ibu bapa sama ada murid-murid lemah ataupun murid-murid cerdas tidak pernah diadakan.
Perbincangan dengan rakan sekerja hanya sekadar mengadu tentang kelemahan murid-murid masing-masing tetapi tidak untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah.

PERNAHKAH anda duduk dan fikirkan apa yang hendak diajar esok. Bagaimanakah hendak anda mulakan pengajaran anda agar ia akan dapat menarik perhatian murid-murid anda. Adakah langkah yang akan anda ambil itu sesuai dengan tahap kemampuan murid-murid anda. Apakah alatan serta bahan yang akan digunakan supaya pengajaran lebih menarik dan mencabar minda murid-murid. Berapa lama kah masa yang anda ambil untuk menyediakan pengajaran anda. Lima minit, Lima belas minit, setengah jam atau satu jam. Setelah tamat pengajaran pernahkah anda tanya diri anda “Adakah murid-murid saya tadi dapat dan faham apa yang telah saya ajar?”

Andai kata apa YANG SEDANG BERLAKU itu berlaku pada diri anda, maka ubahlah sikap dan pendirian anda kepada YANG SEPATUTNYA kerana jika anda teruskan sikap yang sedia ada maka ribuan malah jutaan insan kerdil akan binasa kerana anda. Bayangkan jika setahun anda mendidik seramai 100 orang murid dan anda berkhidmat selama 30 tahun, maka anda telah membinasakan seramai 3,000 orang murid. Jika di sekolah anda terdapat seramai 10 orang guru seperti anda, maka 30,000 orang murid telah binasa. Bayangkan jumlah murid yang akan atau sedang dibinasakan ketika ini di seluruh negara kita. Subhanallah, amat menakutkan.

JIKA RASA BERDOSA, MAKA BERTAUBATLAH
JIKA ADA KEINSAFAN, MAKA BERUBAHLAH
JIKA RASA TIADA KESANGGUPAN, MAKA LETAKLAH JAWATAN
JANGAN SAMPAI DIRI KITA DIBENCI ORANG

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Guru Pembantu atau Pembantu Guru?

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru