Pengalaman 1

Memegang tanggungjawab sebagai guru kelas Tingkatan 3C. Kelas terakhir di mana murid-muridnya terdiri daripada mereka yang lemah dalam pelajaran. Murid Cina pula kebanyakannya nakal dan susah nak dikawal. Pada suatu hari seorang guru perempuan telah masuk ke Bilik Guru dalam keadaan menangis sambil berkata

“Aku tak kira, selagi budak setan tu ada dalam kelas tu, aku tak kan masuk kelas tu”.

“Kenapa ni?, Budak mana pula yang buat hal ni?” aku bertanya.

“Budak mana lagi, si Pang tu lah”. Jawab guru itu.

Aku terus ke kelas itu. Maklumlah aku guru kelasnya. Malu lah aku apabila anak murid aku buat hal. Apabila aku sampai saja kelas berada dalam keadaan bising. Si Pang pula sedang menyandar di kerusinya sambil kakinya diletak di atas meja. Aku masuk ke kelas. Pang buat tak tau sahaja. Aku suruh dia letakkan kakinya ke bawah. Dia buat tak tau saja. Murid-murid lain sudah mula senyap. Sekali lagi aku suruh dia letakkan kakinya ke bawah. Arahan ku masih tidak dipedulikan. Aku mula naik angin. Maklumlah darah muda. Baru saja aku angkat tangan untuk menyepaknya, dia telah bangkit dengan membuka langkah aksi Kung fu.

“Oh! Nak tunjuk awak punya Kung Fu ya”, Jerit ku.

“Awak tunjuk Kung Fu awak dan saya Silat Melayu, Kita tengok siapa lebih kuat”.

Aku minta semua murid menjadi saksi. Belum sempat aku berbuat apa-apa dia telah lari ke belakang kelas untuk mengambil sebatang penyapu dan terus menyerang. Aku menepis dan cekak bajunya serta menamparnya beberapa kali. Dia menjerit memanggil kawan-kawannya dari kelas lain. Pada masa itu guru-guru lain pun bersedia di luar kelas masing-masing untuk memastikan tiada murid lain yang terlibat. Aku mengheret budak itu ke Bilik Pengetua dan menyerahkannya kepada Tuan Pengetua untuk diambil tindakan.

Sebelas tahun kemudian sewaktu aku sedang dalam perjalanan balik dari sekolah, aku telah ditahan oleh seorang pemuda Cina berbadan tegap. Dia baru turun dari sebuah lori balak yang diletak di tepi jalan.

“Awak Cikgu bukan?”, tanya pemuda itu.

“Ya, saya cikgu. Ada apa-apa ke?”, aku menjawab pertanyaan pemuda itu.

“Hai ya, cikgu tak ingat saya ke?, Saya Pang lah. Dulu cikgu tampar saya. Kalau cikgu tak tampar saya, saya rasa tak tahu lah saya akan jadi apa. Sekarang saya sedar bahawa cikgu mahu ajar sama kita supaya jadi pandai dan baik. Terima kasih cikgu.”

Pemuda itu menerang dengan panjang lebarnya. Beliau meminta aku menjaga adiknya. Katanya adiknya juga nakal macam dia dulu. Dia minta aku didik adiknya dan pukul jika perlu.

“Kalau adik saya degil cikgu cakap sama saya”. Katanya lagi.

Aku diajak makan nasi ayam bersamanya di sebuah gerai berdekatan. Lega rasanya. Aku ingat dia nak balas dendam tadi, rupa-rupanya tindakan aku dulu itu telah memberinya kesedaran. Syukurlah.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Guru Pembantu atau Pembantu Guru?

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru