25 Mei 2007 Jumaat - Hari Keramat

Jam 9.00 pagi 24 Mei 2007 saya bersama isteri tercinta dan dua orang anak telah bertolak dari rumah anak sulung saya di USJ Subang menuju ke arah selatan. Kami bergerak ke bandar Segamat untuk menghadiri satu majlis yang penuh bermakna yang telah diatur untuk saya. Kami tiba pada jam 12.30 tengah hari disambut oleh Guru Penolong Kanan HEM dan beberapa orang guru di rumah kediaman kami. Sepanjang hari ramai guru dan murid yang datang untuk menziarahi saya yang sedang pulih dari sakit kanser lymphoma. Pada 30 Mei 2007 saya akan memulakan rawatan kemoterapi di hospital Universiti Kebangsaan. Sahabat handai datang melawat hingga ke lewat malam.

Keesokan harinya 25 Mei 2007, tepat jam 10.00pagi dua orang guru telah datang untuk menjemput saya ke majlis yang telah disediakan. Saya disambut dengan kompang dan bunga mangga. Jemputan terdiri dari Tuan Pegawai Pelajaran Daerah dan beberapa orang Guru Besar. Saya diarak ke kantin untuk jamuan. Selepas menikmati jamuan bersama jemputan saya dibawa ke dewan sekolah. Tibalah masanya saya memberi ucapan. Tetamu dari Jabatan Pelajaran Negeri Johor, Ketua Unit Sekolah Rendah telah hadir secara mengejut. Ia merupakan satu penghormatan yang amat tinggi bagi saya. Pesanan saya kepada anak-anak murid saya adalah seperti berikut :

Terima kasih saya ucapkan,
Diberi peluang bicara kata,
Akan disampaikan nasihat dan pesan
Dari saya yang akan bersara.
Tiga puluh empat tahun telah berlalu
Telah dikorbankan masa dan tenaga
Sedikit tidak rasa segan dan malu
Malah bangga dan puas kerana berjasa
Berjasa mendidik anak-anak bangsa,
Banyak telah diberikan
Ilmu, nasihat dan pesan
Banyak telah diterima
Kenangan manis menyejukkan jiwa
Kerenah anak-anak didik
Ditelan walaupun pahit.

Ingatlah.
Wahai anak-anak didikku
Zaman persekolahanmu akan berlalu.
Tanyakanlah dirimu
“Apakah yang aku mahu?”

Dari Tahun Satu hingga Tahun Enam
Kamu diajar membaca,
Kamu diajar menulis,
Kamu diajar mengira.
Jika kini kamu masih belum boleh
Membaca, Menulis dan Mengira
Enam tahun umurmu telah dipersiakan,
Enam tahun masamu terbuang,
Enam tahun ribuan ringgit telah hilang.
Mana hasilnya?

Tanyalah dirimu,
“Aku ini nak jadi apa?”
Perosak bangsa?
Beban keluarga?
Apa?

Kini kamu berada di sini
Apakah masih belum berubah lagi?
Masih mahu masamu terbuang?
Masih mahu umurmu dipersiakan?
Masih mahu ribuan ringgit hilang?

Wahai anak-anak didikku
Dengarkan kata-kata ini.
Kamu datang ke sekolah
Bukan kerana dipaksa,
Tapi kerana ingin belajar.
Kamu membuat kerja rumah
Bukan kerana dipaksa,
Tapi kerana ingin menguasai
kemahiran yang ada.
Kamu datang bersukan
Bukan kerana dipaksa,
Tapi ingin bersama rakan mengadu tenaga.
Kamu berpakaian bersih dan kemas
Bukan kerana dipaksa,
Tapi ingin kelihatan segak dan selesa.
Kamu menjawab soalan periksa
Bukan kerana dipaksa,
Tapi ingin tahu banyaknya ilmu di dada
Untuk menjadi insan berguna.

Jika kamu rasa dirimu dipaksa,
Maka,
Kamu buta kerana tidak nampak apa hikmahnya.
Kamu sesat kerana memilih jalan yang berbeda.
Kamu kecewa kerana tidak disukai orang.
Kamu bosan kerana kerja tidak kehabisan.
Malah,
Ponteng itu satu keseronokan.
Menipu guru satu kebanggaan.
Rupa selekeh satu keselesaan.

Rasa kesal akan tiba
Bila rakan semuanya berjaya.
Tapi apakan daya,
Masa persekolahan sudah tiada.

Cikgu harap anak-anak sekalian
Fikirkanlah apa yang telah dikatakan.
Bagi cikgu masanya sudah tiba
Untuk cikgu mula bersara.
Penat lelah mungkinkah dibalas,
Dengan kejayaan yang cemerlang,
Dari kamu anak-anak didik cikgu.
Entahlah.
Hanya doa dan harapan.
Agar ianya menjadi kenyataan.

Sepuluh jari disusun.
Ampun dan maaf dipinta.
Andainya cikgu terkasar bahasa,
Terlanjur kata, atau terlajak gaya.
Minta diredai, dihalalkan segalanya.
Budi baik dari mu akan cikgu kenang.
Didoakan agar dibalas TUHAN.


Assalamualaikum warohmatullahhi wabarokatuh dan salam sejahtera.

Selamat maju jaya dan terima kasih.

Amat sayu dan sedih sehingga menitis air mata bila terkenang anak-anak yang masih leka dan lalai dalam mengejar pelajaran. Akhir sekali saya di bawa dengan sebuah kereta mewah dari dewan ke rumah diiringi murid di sebelah kiri dan kanan jalan sambil melaung “Terima Kasih Cikgu”.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Guru Pembantu atau Pembantu Guru?

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru