Jika seorang guru...

Bingkisan seorang guru yang telah bersara untuk para guru yang sedang berkhidmat.

Rakan-rakan yang dihormati sekalian.

Jika seorang guru itu tidak berdedikasi maka ia akan melaksanakan tugasnya sambil lewa atau ala kadar sahaja.

Jika seorang guru itu tidak bermotivasi, maka ia tidak akan berusaha untuk memberi pendidikan kepada anak muridnya secara bersungguh-sungguh dan berkesan.

Jika seorang guru itu tidak berperibadi mulia, maka ia tidak akan dihormati oleh anak muridnya.

Jika seorang guru itu tiada daya kepimpinan, maka hanyutlah anak muridnya.

Jika seorang guru itu tiada kepakaran dalam mata pelajaran yang diajar, maka benaklah anak muridnya.

Jika seorang guru itu tidak bekerja secara cemerlang, maka gagallah anak muridnya.

Kejayaan dan kecemerlangan murid-murid adalah hasil daripada kejayaan dan kecemerlangan guru yang mengajar. Seorang guru yang berjaya dan cemerlang akan menghasilkan murid yang berjaya dan cemerlang. Adalah pelik jika guru yang berjaya dan cemerlang menghasilkan murid yang lemah dan gagal.

Maka jika ada murid yang gagal semasa kita mengajar, ia adalah kerana kegagalan kita untuk menjadikan ia seorang murid yang berjaya. “The product of our teaching is the success or failure of our pupils”.

Tidak boleh dinafikan bahawa setiap murid yang berjaya atau gagal adalah hasil daripada pengajaran kita. Menyedari akan fenomena ini saya berasa insaf dan berdosa bahawa setiap murid saya yang gagal adalah hasil dari kegagalan saya untuk mendidikan mereka dengan sempurna.

Rakan-rakan yang saya hormati sekalian.

Sepanjang perkhidmatan saya, banyak yang telah saya pelajari. Pengajaran yang telah saya perolehi ialah:-

Kepercayaan perlu ada batasnya,

Berbuat baik biarlah berpada-pada.

Keikhlasan bekerja memberi kepuasan.

Berkongsi ilmu memberi kenikmatan.

Kesabaran menenangkan perasaan.

Bersyukur mendapat rahmat TUHAN".

Kepercayaan yang diberikan kepada seseorang itu perlu ada batasnya agar tidak disalahgunakan oleh orang yang dipercayai itu. Orang berbuat baik tanpa had akan rasa kecewa apabila kebaikan yang ditabur dibalas dengan kemungkaran.

Balasan yang akan dirasai apabila kerja yang dilaksanakan itu dibuat dengan penuh keikhlasan tiada tolok bandingnya.

Ilmu yang diturunkan kepada orang lain akan ditokok tambahkan oleh ALLAH dengan yang baru. Selagi ilmu itu diguna dengan baiknya oleh mereka selagi itulah pahalanya dikurniakan kepada kita.

Setiap kali kita berhadapan dengan cabaran dan masalah, kesabaran merupakan penawar kepada jiwa yang sedang gundah. Jiwa yang tenteram akan menghasilkan fikiran yang waras.

Sentiasalah bersyukur dalam apa suasana sama ada dalam kesusahan mahupun kegembiraan.

Comments

Popular posts from this blog

11 Anjakan Utama Mentransformasi Sistem Pendidikan Negara

Guru Pembantu atau Pembantu Guru?

Pengurusan Masa - Satu Keperluan Guru